Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tular Kisah Ayah & Anak Di Sebalik LRT3, Coretan Undang Sebak
Setiap kali sebuah projek mega berjaya disiapkan, ramai hanya melihat hasil akhirnya. Tren bergerak lancar, stesen dipenuhi penumpang dan perjalanan menjadi lebih mudah.
Namun di sebalik semua itu, ada ribuan individu yang bertungkus-lumus memastikan ia berfungsi dengan sempurna, sebelum akhirnya digunakan ramai orang.
Di sebalik kegembiraan orang ramai menyambut pembukaan LRT3, tular pula satu perkongsian yang membuatkan ramai sebak.
Menerusi Threads, seorang jurutera penyelenggaraan, Emir Irfan Mohd Zufri, berjaya menyentuh hati ramai menerusi dua keping gambar yang dimuat naiknya.
Dipisahkan hampir 30 tahun, kedua-dua gambar itu bukan sekadar merakam dua detik berbeza. Sebaliknya, menyimpan sebuah kisah yang cukup bermakna buatnya.
Dalam hantaran tersebut, Emir berkongsi sekeping gambar lama arwah bapanya yang dirakam sekitar tahun 1997.
Pada tahun 1997, bapanya dihantar ke Vancouver, Kanada bagi menjalani latihan Testing and Commissioning (T&C) untuk projek Putra LRT.

Setahun kemudian, sistem rel yang kini dikenali sebagai Laluan Kelana Jaya itu mula beroperasi di Malaysia.
Hampir tiga dekad kemudian, Emir pula merakam gambar dirinya dalam situasi yang hampir sama.
Bezanya, kali ini dia berada di dalam tren LRT3 Shah Alam, menjalani proses T&C bagi memahami keseluruhan sistem sebelum laluan itu dibuka kepada orang ramai.

Seolah-olah sejarah berulang, tetapi kini watak utamanya ialah anak yang sedang meneruskan perjuangan bapanya.
Lebih menyentuh hati, Emir mendedahkan bahawa arwah bapanya sebenarnya sempat terlibat pada peringkat awal pembangunan projek LRT3 sebelum bersara pada tahun 2021.
Sepanjang hayatnya, arwah sering bertanya mengenai perkembangan projek tersebut.
Malah, Emir berseloroh mengatakan setiap kali ditanya, dia berasa seolah-olah sedang memberi laporan kepada seorang "bos".
"Sayangnya arwah abah tak sempat tengok projek LRT3 siap walaupun dah involve masa awal projek sebelum pencen 2021.
"Masa abah ada lagi memang kerap tanya progress LRT3. Macam kena jawab dengan bos-bos bila abah tanya tu..." kongsinya.
Untuk info, LRT3 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Jun, sebelum dibuka kepada orang ramai bermula 29 Jun 2026.
Laluan yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya itu dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas, memudahkan pergerakan harian rakyat serta merancakkan aktiviti ekonomi di sepanjang koridor laluan.