KUALA LUMPUR, 8 September 2026 - Trip.Gourmet, jenama khusus Trip.com Group yang memfokuskan pada pengalaman kulinari dan gastronomi, hari ini meraikan ulang tahun ke-10 dengan pelancaran global Fine Dining List 2027, yang diadakan dengan kerjasama Resorts World Sentosa (RWS) di Singapura. Acara ini menghimpunkan rakan kerjasama yang terdiri daripada restoran, pakar kulinari dan wakil media dari seluruh dunia bagi meraikan sedekad usaha menghubungkan para pengunjung dengan pengalaman gastronomi yang mencerminkan keunikan setiap destinasi.
Fine Dining List 2027 kini merangkumi enam benua, 105 bandar serta 40 negara dan wilayah, dengan sejumlah 744 restoran menerima pengiktirafan dalam tiga peringkat iaitu Black Diamond, pengiktirafan tertinggi (60 restoran), Diamond (160 restoran) dan Platinum (524 restoran). Tahun ini turut menyaksikan penambahan 34 destinasi baharu merentasi Eropah, Amerika Utara, Oseania, Asia, Amerika Selatan dan Afrika.


Malaysia pula diwakili oleh empat restoran, kesemuanya terletak di Kuala Lumpur. DC Restaurant dan DEWAKAN menerima pengiktirafan peringkat Diamond, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia yang semakin menyerlah dalam landskap hidangan mewah. Dua lagi restoran, iaitu Nadodi di Four Seasons Kuala Lumpur dan Sushi Taka di The St. Regis Kuala Lumpur menerima pengiktirafan peringkat Platinum. Pengiktirafan ini sekali gus memperkayakan kepelbagaian landskap gastronomi Malaysia.
Sejak diperkenalkan 10 tahun yang lalu, senarai ini telah berkembang daripada sebuah ranking untuk satu pasaran kepada indeks kulinari global yang kini merangkumi 66 negara dan wilayah serta 462 destinasi. Senarai ini membantu para pengunjung menemui restoran-restoran istimewa yang berbaloi dijadikan sebahagian daripada perjalanan mereka.
“Pengunjung masa kini bukan sekadar menikmati makanan di destinasi yang mereka kunjungi. Pengalaman menjamu selera itu sendiri menjadi faktor kuat yang mempengaruhi destinasi dan waktu pilihan mereka untuk melancong,” kata Sunny Sun, Naib Presiden, Trip.com Group dan Ketua Pegawai Eksekutif Trip.Gourmet. “Dengan perjalanan rentas sempadan yang semakin kerap, matlamat kami untuk fasa seterusnya bagi Trip.Gourmet adalah mudah: membantu setiap pengunjung menemukan restoran yang berbaloi untuk dikunjungi, memahami keunikan yang menjadikannya istimewa, serta membuat tempahan dengan penuh yakin.”

Dari Paris ke Bangkok: Hidangan Mewah Kini Merentasi Dunia
Senarai tahun ini menyerlahkan keluasan dan kepelbagaian landskap hidangan mewah di seluruh dunia melalui pengiktirafan yang diberikan kepada restoran dari 40 negara dan wilayah. Asia Pasifik mendominasi daripada segi jumlah pengiktirafan, dengan 478 restoran iaitu hampir dua pertiga daripada keseluruhan restoran dalam senarai global yang meliputi 51 bandar, termasuk 32 restoran menerima pengiktirafan Black Diamond. Antara bandar yang menjadi tumpuan utama ialah Tokyo, Shanghai dan Beijing. Eropah pula mencatatkan liputan geografi paling luas berbanding benua lain, dengan restoran dari 20 negara dan wilayah serta 35 bandar menerima pengiktirafan, termasuk 23 restoran Black Diamond. Paris dan London kekal sebagai pusat utama hidangan mewah di rantau ini. Benua Amerika pula menyumbang 63 restoran dari 14 bandar, dengan New York sebagai peneraju. Sementara itu, rantau yang baru diperkenalkan dalam senarai tahun ini meliputi Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika yang menampilkan 17 restoran dari lima bandar, termasuk Dubai dan Cape Town.
Sebagai bandar tuan rumah bagi pelancaran global tahun ini, Singapura menerima pengiktirafan untuk 27 restoran dalam Fine Dining List 2027, dalam kesemua tiga peringkat iaitu tiga Black Diamond, lapan Diamond dan 16 Platinum. Restoran Black Diamond di Singapura iaitu Odette, Les Amis dan Restaurant Labyrinth merupakan antara restoran yang menerima pengiktirafan kulinari tertinggi di dunia pada tahun ini. Sementara itu, restoran peringkat Diamond seperti Zén, JAAN by Kirk Westaway dan Summer Pavilion terus mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai antara destinasi gastronomi paling dinamik di dunia.
“Singapura sememangnya sebuah bandar yang menjadi titik pertemuan pelbagai budaya dan cita rasa. Justeru itu, RWS berbangga kerana berpeluang mencerminkan semangat tersebut melalui pelbagai pengalaman kulinari yang kami tawarkan,” kata Chen Si, Ketua Pegawai Operasi Resorts World Sentosa. “Kami amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada sambutan global Trip.Gourmet yang meraikan kecemerlangan hidangan mewah di RWS, dan berharap lebih ramai pengunjung dapat menerokai pengalaman kulinari yang kami tawarkan.”
RWS, destinasi resort gaya hidup mewah di Asia, menawarkan pelbagai pengalaman kulinari melalui lebih daripada 60 restoran yang menampilkan hidangan daripada pelbagai masakan serta cef ternama. Pilihannya merangkumi hidangan mewah bertaraf dunia hingga ke cita rasa tempatan yang unik. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, RWS turut giat memperkenalkan jenama makanan serta minuman terkenal seperti Peking Chamber dan Chagee yang sekali gus memperkaya pilihan kulinari yang ditawarkan.
Senarai penuh kedudukan restoran global bagi tahun 2027 boleh dilihat di aplikasi Trip.com.
Baharu untuk 2027: Daripada Senarai kepada Pengalaman Perjalanan
Seiring dengan pelancaran senarai ini, Trip.Gourmet turut memperkenalkan dua ciri baharu yang direka untuk memudahkan pengguna mencari dan menempah pengalaman kulinari:
Tempahan Meja Global: Lebih 43,600 restoran di seluruh dunia - hampir 40,000 daripadanya di luar negara - kini termasuk dalam rangkaian tempahan Trip.Gourmet. Banyak restoran boleh ditempah secara terus melalui platform ini.
WOW Privileges: Program manfaat eksklusif untuk ahli Black Diamond Trip.com Group yang menawarkan akses kepada tempat duduk terhad di restoran-restoran popular dan sukar ditempah. Pada setiap 1 haribulan, ahli boleh mendapatkan akses kepada slot tempahan untuk bulan berikutnya. Buat masa ini, program tersebut bekerjasama dengan restoran-restoran yang mempunyai permintaan tinggi dan menawarkan lebih daripada 320 tempat duduk terhad sepanjang tahun, di samping pelbagai keistimewaan seperti keutamaan tempat duduk, sambutan khas daripada cef serta menu edisi terhad.
Trip.Gourmet turut memperkenalkan China Travel Culinary List, yang direka khusus bagi membantu pengunjung antarabangsa ke China untuk memahami menu, keperluan pemakanan, proses membuat pesanan dan tempahan restoran. Sebagai peringkat awal, senarai ini telah dilancarkan di 30 bandar dan liputannya dijangka akan diperluas kepada 100 bandar secara berperingkat.
Apabila Hidangan Menentukan Destinasi: Carian Berkaitan Makanan Meningkat di Seluruh Dunia
Pelancaran ini hadir tatkala minat global terhadap pelancongan berasaskan makanan terus berkembang pesat. Berdasarkan data Trip.com, carian berkaitan makanan meningkat sebanyak 45 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, manakala kepelbagaian istilah carian berkaitan makanan yang berbeza turut meningkat 46 peratus dalam tempoh yang sama. Pengguna yang berinteraksi dengan kandungan berkaitan makanan juga menunjukkan tahap penglibatan yang lebih tinggi berbanding pengguna secara keseluruhan. Kira-kira 41 peratus interaksi carian berkaitan makanan mendorong pengguna untuk meneruskan penerokaan dalam carian mereka, berbanding 28 peratus bagi semua kategori carian.
Dalam kategori carian ini, minat terhadap restoran secara khusus meningkat sebanyak 68 peratus, manakala carian berkaitan bufet melonjak 66 peratus. Carian untuk kafe, kopi dan teh pula meningkat 67 peratus. Peningkata ini menunjukkan peningkatan dalam jumlah pengunjung masa kini yang ingin menjadikan pengalaman menjamu selera sebagai sebahagian penting daripada pengalaman melancong mereka.
Minat terhadap makanan laut meningkat sebanyak 218 peratus, manakala carian untuk makanan istimewa tempatan melonjak lebih 700 peratus. Pengunjung juga kini sering menggabungkan destinasi dan makanan secara langsung dalam carian mereka, dengan istilah seperti “bufet Macau”, “restoran Shanghai” dan “makanan Hanoi” antara corak carian yang mencatatkan pertumbuhan paling pesat.
Trend ini turut mendapat momentum di pasaran antarabangsa baharu. Sejak pengembangan ke Eropah pada Mei 2026, carian berkaitan makanan meningkat dengan ketara di beberapa pasaran Eropah yang diterajui oleh Itali dan Sepanyol. Jerman dan Perancis, yang merupakan pasaran terbesar di Eropah daripada segi jumlah carian, turut mencatatkan pertumbuhan kukuh pada kadar tiga angka. Di rantau Asia Pasifik pula, destinasi seperti Jepun (+130 peratus), Indonesia (+347 peratus) dan Hong Kong (+71 peratus) merekodkan pertumbuhan carian berkaitan makanan paling pesat dalam tempoh yang sama.
