Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiga Termasuk Nenek Tiri Ditahan Bunuh Cucu Di Kota Tinggi

Tiga Termasuk Nenek Tiri Ditahan
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad. Kredit: Bernama

Tiga Termasuk Nenek Tiri Ditahan Bunuh Cucu Di Kota Tinggi

JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Tiga individu termasuk nenek tiri ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh cucu perempuan berusia satu tahun empat bulan di Taman Sri Saujana, dekat Kota Tinggi pada 2 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata selain nenek tiri berusia 39 tahun, turut ditahan ibu mangsa yang merupakan pelajar kolej vokasional berusia 18 tahun dan datuk mangsa berumur 47 tahun.

Beliau berkata nenek tiri mangsa membuat laporan pada 31 Julai kira-kira 9.30 pagi, yang mendakwa cucunya meninggal dunia semasa tidur di rumahnya di Taman Sri Saujana.

“Wanita itu mendakwa mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas ketika dikejutkan daripada tidur, sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

“Pada ketika itu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan mangsa sehingga meninggal dunia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata bagaimanapun hasil bedah siasat di Hospital Pasir Gudang, di sini mendapati punca kematian mangsa disebabkan trauma di bahagian perut dan dada akibat objek tumpul, selain beberapa kesan luka serta lebam di badan mangsa.

“Pihak polis mengesyaki mangsa dianiaya dengan dipukul atau dipijak,” katanya yang memberitahu mangsa dijaga datuk dan nenek tirinya sejak lahir.

Beliau berkata kesemua individu itu direman selama 11 hari bermula 2 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ab Rahaman berkata kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, dan susulan itu nenek tiri mangsa akan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok.

“Datuk dan ibu mangsa pula dibebaskan dengan bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya.