Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lebih 250 Kediaman Hangus, Ratusan Keluarga Terjejas Dalam Kebakaran Besar Di Jakarta

Aina Munirah
Kebakaran Besar Di Jakarta
Kredit: Antara News

Lebih 250 Kediaman Hangus, Ratusan Keluarga Terjejas Dalam Kebakaran Besar Di Jakarta

Lebih 250 buah kediaman hangus dijilat api selepas sebuah kawasan petempatan padat di Jalan Kemayoran Gempol, Kebon Kosong, Jakarta Pusat dilaporkan musnah dalam satu kebakaran besar, lapor Detik.com.

Insiden berkenaan mengakibatkan 620 mangsa daripada 330 keluarga hilang tempat tinggal.

Tiga Orang Dilaporkan Cedera Dalam Kebakaran Besar Di Jakarta

Dalam pada itu, tiga orang dilaporkan cedera akibat kebakaran yang berlaku di kawasan penempatan di Pasar Jiung, Kemayoran.

Menurut laporan Antara News, kesemua mangsa kini telah dihantar ke hospital dan telah menerima rawatan di hospital berhampiran.

"Ada tiga mangsa yang mengalami kecederaan," kata Ketua Polis Kemayoran, Kompol Agung Ardiansyah di Jakarta, pada Selasa.

Menurut beliau, ketiga-tiga mangsa kini sedang dirawat di dua hospital berbeza iaitu dua orang di Hospital Hermina Kemayoran manakala seorang lagi dirujuk ke Hospital Cipto Mangunkusumo.

"Dua mangsa iaitu Puput dan Dika dirawat di Hospital Hermina, sementara Suparno di Hospital Cipto Mangunkusumo," katanya.

Sebelum ini, kebakaran besar telah melanda kawasan penduduk di Kampung Pasar Jiung, Jalan Kemayoran Gempol, Kebon Kosong, Kemayoran, Jakarta Pusat pada malam Isnin, kira-kira pukul 8.55 malam waktu tempatan.

Kredit: Antara News

Ketua Polis Metro Jakarta Pusat, Kombes Pol Reynold Hutagalung berkata, kawasan yang terbakar juga melibatkan kawasan penempatan yang sangat padat.

"Kebakaran berlaku di kawasan RW 04. Kawasan RW 04 ini menempatkan kira-kira 400 hingga 500 keluarga," kata Reynold ketika dihubungi menerusi telefon pada malam Isnin.

Kredit: Antara News

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Gulkarmat) DKI Jakarta telah mengerahkan 35 jentera bomba bersama 165 anggota bomba bagi mengawal kebakaran tersebut.

Ketua Bomba dan Penyelamat (Gulkarmat) DKI Jakarta, Bayu Meghantara berkata, beliau akan memastikan sumber bekalan air yang digunakan untuk memadamkan kebakaran mencukupi.

"Dan ketika ini di lokasi masih terus dilakukan pemadaman, namun api sudah mulai berkurangan dan pasukan bomba sedang berusaha memadam serta melakukan proses pendinginan di kawasan RW 04 Kebon Kosong, Kemayoran," tambahnya.

Reynold juga turut memaklumkan bahawa pihak polis terpaksa menutup beberapa akses jalan utama di Jalan Benyamin Suaeb dan Jalan Kemayoran Gempol bagi memudahkan proses pemadaman serta pergerakan anggota ke lokasi kejadian.

Sehingga kini, pihak berkuasa masih giat mengenal pasti punca sebenar kebakaran.