Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiga Gajah Malaysia Naik Berat Badan Sejak Tinggal Di Jepun - MPT

Iqbal Yasir
Tiga Gajah Malaysia
Kredit: Majlis Perbandaran Taiping

Tiga Gajah Malaysia Naik Berat Badan Sejak Tinggal Di Jepun - MPT

Tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini berada di Zoo Tennoji di Osaka, Jepun berada dalam keadaan stabil malah mengalami pertambahan berat badan sejak ditempatkan di negara berkenaan.

Menurut Majlis Perbandaran Taiping (MPT), pemerhatian harian menunjukkan tahap kesihatan, selera makan, tingkah laku dan aktiviti harian DAK berada dalam keadaan baik, termasuk peningkatan berat badan yang positif sejak berada di Tennoji Zoo.

Makin Stabil, Tiga Gajah Malaysia Naik Berat Badan

"Bacaan berat menunjukkan pertambahan sebanyak 235 kilogram bagi Dara dan 220 kilogram bagi Amoi.

"Manakala bagi Kelat terdapat pertambahan berat badan sebanyak 460 kilogram.

"Program pengayaan persekitaran (environmental enrichment), pemakanan serta latihan pengendalian secara Protected Contact juga dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan dan pengurusan gajah berada pada tahap terbaik," maklum kenyataan itu.

Jelas MDP, secara keseluruhannya, keadaan semua gajah adalah stabil dan berada dalam pemantauan rapi pihak pengurusan zoo serta pasukan veterinar.

Perubahan Sikap Kelat

Kredit: Majlis Perbandaran Taiping

Sementara itu, MPT memaklumkan bahawa Kelat kini berada dalam fasa musth (turun minyak), iaitu keadaan biologi semula jadi yang dialami oleh gajah jantan matang.

Ia susulan spekulasi yang melibatkan perubahan tingkah laku gajah jantan berkenaan.

Dalam tempoh ini, perubahan hormon testosteron boleh menyebabkan tingkah laku menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif berbanding kebiasaan. Keadaan ini adalah normal dan sentiasa dipantau secara rapi oleh penjaga zoo dan veterinar.

"Sepanjang tempoh musth ini,beberapa pemerhatian dan langkah pengurusan khas telah dilaksanakan termasuk pemantauan tingkah laku harian dan tahap agresif; pemeriksaan fizikal secara berkala oleh pegawai veterinar;

"Selain pengasingan terkawal bagi memastikan keselamatan haiwan dan kakitangan; pemantauan pengambilan makanan, air serta output najis dan urin; pengurusan persekitaran bagi mengurangkan tekanan dan rangsangan luar dan program pengayaan (enrichment) dilaksanakan secara berterusan bagi menyokong kebajikan haiwan serta memastikan tingkah laku haiwan kekal stabil," jelas kenyataan itu.

Dakwaan Kelat Sakit Tidak Tepat

Dalam pada itu, MPT juga menafikan dakwaan mengenai Kelat mengalami masalah okular atau sakit mata adalah tidak tepat.

"Perubahan yang kelihatan pada bahagian mata Kelat adalah berkait dengan perubahan fisiologi semasa fasa musth, khususnya pembengkakan pada temporal gland yang boleh memberi sedikit tekanan pada kawasan sekitar mata.

"Keadaan ini merupakan salah satu tindak balas semula jadi yang lazim berlaku pada gajah jantan matang ketika melalui fasa tersebut," katanya lagi.

Berikutan itu, pihak Tennoji Zoo turut mendapatkan khidmat Elephant Business Inc bagi melaksanakan latihan kepada kakitangan dalam aspek pengurusan dan pengendalian gajah secara Protected Contact.

Pendekatan ini merupakan kaedah pengurusan yang selamat dan sistematik bagi memastikan pemantauan kesihatan, penjagaan harian serta pemeriksaan veterinar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, di samping menjamin kebajikan gajah sentiasa diberi perhatian dan dipelihara dengan baik.

Selain itu, dakwaan berkaitan aktiviti "force breeding" terhadap mamalia berkenaan juga adalah tidak benar sama sekali.

"Perkara tersebut tidak pernah berlaku dan sememangnya tidak dibenarkan berdasarkan syarat serta ketetapan yang telah dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

"Dalam masa yang sama, Tennoji Zoo memaklumkan bahawa serpihan gading milik Kelat telah ditemui di dalam kawasan kurungannya dan dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian.

"Pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku dan keadaan Kelat adalah stabil. Bahagian tersebut kini dipantau secara berkala bagi memastikan tiada jangkitan atau komplikasi lanjut berlaku.

"Pihak MPT akan terus bekerjasama rapat dengan Tennoji Zoo serta pihak berkaitan bagi memastikan tahap kebajikan, kesihatan dan pengurusan semua gajah sentiasa berada dalam keadaan terbaik." tegas MPT.

Sehubungan itu, MPT mengambil maklum terhadap pelbagai perhatian, kebimbangan dan maklum balas orang awam berhubung keadaan semasa gajah-gajah Malaysia di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

Pihaknya memaklumkan akan sentiasa berkongsi perkembangan semasa secara berkala kepada masyarakat umum.

Langkah ini bagi memastikan ketelusan maklumat, penyampaian informasi yang tepat serta mengurangkan sebarang salah faham atau spekulasi.