KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini menjadi tumpuan apabila tiga bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir bagi menghadapi prosiding mahkamah dalam kes berasingan.
Najib akan menghadiri perbicaraan pendengaran kes saman sivil USD5.64 bilion difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya terhadap beliau dan beberapa individu lain.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus dijangka diteruskan dengan keterangan saksi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Writ saman itu antara lain mendakwa 1MDB telah menuduh Najib selaku defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.
Di Mahkamah Tinggi berasingan, Muhyiddin yang berdepan tujuh pertuduhan akan menghadiri perbicaraan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan projek Jana Wibawa.
Muhyiddin, yang ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM225.3 juta bagi parti itu daripada empat syarikat, iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff, berkaitan Projek Jana Wibawa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung hari ini dengan saksi pendakwaan ke-27 iaitu Pengarah Syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd Datuk Seri Azman Yusoff.
Sementara itu, Ismail Sabri dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung pengisytiharan harta.
Ismail Sabri sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan ke hari ini selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.
Hakim Suzana Hussin menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke hari ini selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri memohon penangguhan kerana anak guamnya dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).
Sebelum ini, bekas perdana menteri itu dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

