Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tidur Cukup Lapan Jam Tapi Masih Penat? Ini Sebab Yang Ramai Tak Sedar
Ramai menganggap tidur selama lapan jam sudah memadai untuk memastikan tubuh kembali segar dan bertenaga pada keesokan harinya.
Namun hakikatnya, tempoh tidur yang cukup tidak semestinya menjamin kualiti rehat yang baik.
Ada individu yang masih berasa letih, lesu dan mengantuk walaupun sudah tidur awal serta memenuhi waktu rehat yang disarankan.
Keadaan ini boleh menjejaskan fokus, emosi dan produktiviti harian jika dibiarkan berterusan.
Justeru, SK kali ini akan menjelaskan beberapa faktor yang mungkin mengganggu kualiti tidur anda sehingga menyebabkan rasa mengantuk, menurut Cleveland Clinic.
Tidur tidak berkualiti
Pakar perubatan tidur, Dr. Alicia Roth berkata jika anda sering berasa lesu, sukar fokus dan mengantuk pada waktu siang, ia mungkin petanda kepada gangguan tidur seperti sleep apnea atau apnea tidur.
"Sleep apnea ialah keadaan apabila seseorang berhenti bernafas seketika atau tidak bernafas dengan baik semasa tidur
"Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang terjaga berkali-kali pada waktu malam tanpa disedari," jelasnya.

Walaupun anda tidak tersedar sepenuhnya, otak mungkin berulang kali beralih ke fasa tidur yang lebih ringan bagi memastikan proses pernafasan terus berlaku.
Gangguan yang berterusan ini boleh menghalang anda daripada mencapai tidur yang nyenyak dan berkualiti. Akibatnya, anda akan berasa letih dan tidak bertenaga pada keesokan harinya.
Antara gangguan tidur lain yang juga boleh menyumbang kepada keletihan pada waktu siang termasuk:
Insomnia
Sindrom kaki gelisah (Restless Legs Syndrome atau RLS)
Narkolepsi
Hipersomnia
Masalah kesihatan
Tambah Dr. Roth, faktor lain seperti penyakit kronik atau perubahan hormon, termasuk perubahan yang berlaku ketika menopaus juga boleh menyebabkan seseorang berasa letih dan tidak segar pada waktu siang tanpa mengira berapa lama mereka tidur.

Selain itu, pemeriksaan darah (ujian darah) kadangkala boleh membantu mengesan masalah seperti
Masalah tiroid
Kekurangan vitamin
Ketidakseimbangan hormon
Lain-lain keadaan kesihatan kronik
Persekitaran tidur
Menurut Cleveland Clinic, susun atur bilik tidur anda mungkin secara tidak sedar mengganggu kualiti tidur.
Faktor seperti bunyi, cahaya dan suhu boleh mempengaruhi tahap tidur anda.
Bilik yang terlalu panas, terang atau bising boleh menyebabkan terjaga secara mikro berulang kali sepanjang malam, walaupun anda tidak menyedarinya.
“Cahaya yang berlebihan boleh menghalang paras melatonin semula jadi badan daripada meningkat seperti sepatutnya untuk mempersiapkan anda untuk tidur,” kata Dr. Roth.

Di samping itu, peranti elektronik juga boleh memainkan peranan, terutamanya jika anda sering menggunakannya di atas katil.
“Ia bukan semata-mata skrin itu sendiri tetapi penggunaan skrin di atas katil boleh mengganggu keupayaan anda untuk berasa mengantuk dan tidur
"Otak mula mengaitkan katil dengan masa skrin, bukannya dengan tidur," ujarnya lagi.
Makanan & minuman yang diambil turut mempengaruhi kualiti tidur
Jenis makanan yang anda ambil boleh mempengaruhi kualiti tidur anda, begitu juga dengan waktu pengambilannya.
Contohnya, makan dalam kuantiti yang besar terlalu hampir dengan waktu tidur boleh memberi kesan kepada tidur anda.
“Apabila anda makan dalam jumlah yang besar, proses penghadaman akan mengaktifkan sistem badan yang sepatutnya sedang bersedia untuk berehat dan tidur,” jelas Dr. Roth.

Namun, ini tidak bermakna anda perlu tidur dalam keadaan lapar, sebaliknya pengambilan makanan dalam kuantiti kecil menjelang waktu tidur boleh membantu meningkatkan kualiti tidur pada waktu malam.
Difahamkan, minuman juga memainkan peranan penting dalam kualiti tidur.
“Ramai orang mengatakan kafein tidak memberi kesan kepada mereka kerana mereka masih boleh tidur seperti biasa
"Namun, ia masih boleh mengganggu keupayaan otak untuk mencapai tidur yang nyenyak," ujarnya.
Tekanan & masalah kesihatan mental
Cleveland Clinic melaporkan tekanan kerja, masalah kewangan atau emosi boleh menyebabkan otak sukar benar-benar berehat ketika tidur.
"Tekanan dan kebimbangan harian yang biasa juga boleh membuatkan otak kita menjadi lebih berjaga-jaga pada waktu malam

"Ini boleh menghalang proses semula jadi untuk tertidur daripada berlaku," kata Dr. Roth.
Masalah kesihatan mental dan gangguan mood lain seperti kemurungan dan gangguan bipolar juga boleh mengganggu tidur serta menyumbang kepada keletihan yang berpanjangan.
Tahap zat besi yang rendah
Di samping itu, kekurangan zat besi kadangkala boleh menyebabkan keletihan melalui pencetus sindrom kaki gelisah (Restless Legs Syndrome atau RLS).