Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diingatkan supaya tidak terlalu memberikan tekanan kepada diri sendiri, selain mendapatkan rehat secukupnya menjelang peperiksaan bertulis yang bermula esok.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, calon perlu memasuki dewan peperiksaan dengan hati yang tenang dan yakin terhadap segala usaha serta persediaan yang telah dilakukan selama ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau turut menasihatkan calon supaya tidur lebih awal dan tidak terlalu memikirkan tekanan menjelang peperiksaan.
“Anak anak, selepas melalui ujian bertutur dan amali, esok bermulalah pula peperiksaan bertulis. Mesti macam macam perasaan sekarang, kan?
“Saya nak pesan, jangan terlalu beri tekanan kepada diri sendiri. Malam ini tidur awal, rehat secukupnya dan masuklah ke dewan peperiksaan esok dengan hati yang tenang.
“Percayalah pada segala usaha yang anak anak lakukan selama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut mengingatkan ibu bapa dan guru supaya terus memberikan sokongan, semangat serta mendoakan calon yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan.
Menurutnya, calon perlu mengetahui bahawa mereka sentiasa mendapat sokongan orang sekeliling dan setiap usaha yang dilakukan tetap dihargai tanpa mengira keputusan yang bakal diperoleh.
“Buat ibu ayah dan guru guru, teruslah beri semangat dan titipkan doa. Anak anak kita perlukan keyakinan bahawa apa pun keputusannya nanti, kita tetap bangga dengan usaha mereka.
“Selamat maju jaya, anak anak! Buat yang terbaik. Saya sentiasa mendoakan kalian,” katanya.

