Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Thailand Sambut Aidiladha Pada 28 Mei
BANGKOK -- Umat Islam di Thailand akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 28 Mei (Khamis).
Perkara itu diumumkan oleh Pejabat Chularatchamontri atau Ketua Hal Ehwal Islam di Thailand (Syeikhul Islam) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.
Menurut Syeikhul Islam, Arun Boonchom mengumumkan tarikh sambutan Aidiladha pada 28 Mei selepas anak bulan (hilal) tidak kelihatan di beberapa kawasan di Thailand berikutan cuaca mendung dan hujan di beberapa wilayah.
"Anak bulan tidak kelihatan selepas matahari terbenam, maka 1 Zulhijah 1447 Hijrah jatuh pada 19 Mei dan Hari Raya Aidiladha Tahun Hijrah 1447 jatuh pada hari Khamis, 28 Mei 2026," maklum kenyataan itu.
Sementara itu, negara seperti Malaysia, Indonesia dan Singapura mengumumkan bakal menyambut Aidiladha pada 27 Mei ini.
Di Malaysia, Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Muhammad Affendi Jalaluddin mengumumkan seluruh umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada Rabu, 27 Mei ini.
Pengumuman itu dibuat dalam satu siaran langsung pada semalam.
Di Indonesia, Menteri Hal Ehwal Agama, Nasaruddin Umar berkata keputusan itu dibuat susulan sesi isbat yang diadakan di Jakarta pada Ahad, berdasarkan pemerhatian bulan yang dijalankan di 88 lokasi di seluruh negara.
"Berdasarkan hasil pengiraan dan laporan penampakan bulan, dipersetujui 1 Zulhijah 1447 Hijrah jatuh pada Isnin, 18 Mei 2026.
“Justeru, Hari Raya Aidiladha jatuh pada Rabu, 27 Mei 2026,” katanya.
Manakala di Singapura pula, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata mengikut pengiraan astronomi, anak bulan Zulhijah kekal di atas ufuk Singapura selepas matahari terbenam pada petang Ahad.
"Oleh itu, hari ini merupakan hari terakhir bagi bulan Zulkaedah. Oleh itu, bulan Zulhijah 1447H akan bermula pada hari Isnin, 18 Mei 2026," katanya.