Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Thailand Berjaga-Jaga, Paras Air Sungai Chao Phraya Dijangka Meningkat

PHRAYA
Kredit: AFP

BANGKOK, 22 Sept (Bernama) -- Thailand meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan pemantauan paras air Sungai Chao Phraya sepanjang masa susulan aliran air yang dijangka meningkat mulai 29 Sept.

Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Theeraphat Kachamat berkata 10 wilayah tengah dan Bangkok diarahkan memantau situasi dengan teliti susulan unjuran Jabatan Pengairan Diraja yang menunjukkan aliran air di Stesen C.2 di daerah Muang, Nakhon Sawan, dijangka mencecah antara 1,400 hingga 1,450 meter padu sesaat pada 29 Sept.

Menurut DDPM, wilayah terbabit ialah Uthai Thani, Chai Nat, Sing Buri, Ang Thong, Suphan Buri, Phra Nakhon Si Ayutthaya, Lop Buri, Pathum Thani, Nonthaburi dan Samut Prakan.

Bagaimanapun, Theeraphat berkata paras air yang diramalkan itu dijangka tidak menjejaskan komuniti yang terletak dalam kawasan benteng tebatan banjir yang ditetapkan.

DDPM turut menggesa amaran segera disampaikan kepada penduduk yang tinggal di sepanjang kedua-dua tebing Sungai Chao Phraya dan Sungai Noi serta pengusaha sektor swasta yang menjalankan aktiviti di sepanjang laluan air berkenaan.

“Ini termasuk pengusaha yang terlibat dalam pembinaan benteng tebatan banjir dan restoran terapung, yang dinasihatkan supaya memantau perkembangan dengan teliti serta bersedia memindahkan barangan dan peralatan ke kawasan lebih tinggi demi keselamatan,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan turut diarahkan memeriksa kestabilan benteng tebatan banjir, menyediakan jentera tindak balas bencana serta memastikan anggota berada dalam keadaan siap siaga.

-- BERNAMA

Intipati
  • Thailand meningkatkan pemantauan Sungai Chao Phraya susulan aliran air dijangka naik mulai 29 Sept.
  • Sepuluh wilayah tengah dan Bangkok diarahkan memantau situasi berdasarkan unjuran Jabatan Pengairan Diraja.
  • Penduduk serta pengusaha sepanjang sungai digesa berwaspada dan bersedia memindahkan barangan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan