Ucapan ringkas seorang kanak-kanak yang memanggil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘atok’ mencuri perhatian pengguna media sosial selepas sekeping nota tulisan tangan dikongsikan menerusi platform Threads.
Nota tersebut memaparkan tulisan “Terima Kasih Atok!!! Mateen Sayang Atok” bersama perkataan “PMX!” yang turut dihiasi lukisan hati.
Lebih mencuit hati, sekeping wang kertas RM50 dan sebuah kereta mainan turut diletakkan bersama nota berkenaan.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, heylyzarashid, ucapan itu ditujukan kepada Anwar sebagai tanda penghargaan selepas kanak-kanak bernama Mateen menerima hadiah ketika bertemu Perdana Menteri berkenaan.
Menurutnya, pada hari yang sama, Mateen turut membeli sebuah kereta mainan di reruai sekitar kawasan berkenaan.
Katanya, kanak-kanak itu sememangnya gemar mengumpul kereta mainan bersaiz kecil, lebih-lebih lagi model yang boleh berubah menjadi robot.
“Ucapan daripada Mateen untuk @anwaribrahim_my. Pada hari yang sama, Mateen sudah membeli kereta di reruai kawasan itu. Dia sangat suka kereta jenis kecil-kecil. Kereta itu boleh menjadi robot, tau.
“Semoga Allah memberikan kekuatan, semangat dan kesihatan kepada PMX,” kongsi heylyzarashid.
Dalam hantaran berasingan, heylyzarashid turut menjelaskan bahawa Mateen merupakan anak saudaranya dan mereka tidak berkesempatan mengambil gambar bersama Anwar ketika itu.
“Kereta boleh jadi robot. Anak saudara saya, cuma tidak sempat bergambar dengan PMX kita. Semoga suatu hari nanti dia berpeluang bergambar di sebelah PMX,” katanya.
Terdahulu, tular satu klip video memaparkan Anwar memujuk kanak-kanak berkenaan selepas kereta mainannya patah.
“Kereta mainan ini patah. Nanti atok beli yang lain. Mainan ini pegang, ini (sambil menyerahkan wang RM50), nanti beli yang baharu, yang lebih cantik dan lebih besar, okey,” katanya.
Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata terhibur melihat kegembiraan Mateen menerima hadiah berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, irsabell_lalala, menitipkan pesanan buat kanak-kanak itu supaya menghargai peluang mempunyai kenangan bersama seorang Perdana Menteri.
“Tunggulah, Mateen. Ada seorang atok yang merupakan Perdana Menteri. Jaga diri dan belajar rajin-rajin,” katanya.
Seorang lagi pengguna, liyahanafiah97, turut mendoakan agar Mateen membesar menjadi anak yang berjaya.
“Seronoknya dia dapat mainan baharu, siap boleh menjadi robot lagi. Semoga menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat,” komennya.
Sementara itu, aliyarealm menyifatkan perkongsian tersebut sebagai contoh pemimpin yang mendapat perhatian dan kasih sayang rakyat.
Tidak kurang juga, heyitsyunyun dan pleiadeleia masing-masing meluahkan rasa terhibur melihat kegembiraan Mateen menerima kereta mainan yang boleh bertukar menjadi robot.
Dalam pada itu, chientaerra turut berkongsi rasa syukur kerana anaknya, Mateen, menerima hadiah daripada PMX.
Menurutnya, perkongsian berkenaan secara tidak sengaja menjadi tular dan bakal menjadi kenangan manis untuk Mateen tatap apabila dewasa kelak.
“Alhamdulillah, rezeki anak saya, Mateen, dapat hadiah daripada PMX. Terima kasih juga kepada Mak Lang kerana memuat naik video Mateen sehingga tular tanpa sengaja.
“Alhamdulillah, kenangan manis yang tidak dirancang tetapi akan menjadi satu kenangan untuk Mateen lihat apabila dia besar nanti. Terima kasih kepada semua yang mendoakan Mateen,” jelasnya.

