Semalam, berlangsungnya majlis pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bersama pasangannya, Dayang Nabellah yang mencuri perhatian seluruh rakyat Malaysia.
Dalam majlis penuh indah itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri turut menjadi perhatian selepas beliau dilihat menterbalikkan tapak tangannya semasa membaca doa.
Timbul Persoalan Dalam Kalangan Netizen, Dr Zulkifli Jelaskan Kenapa
Susulan tindakan beliau itu, ramai yang mula hairan dengan perkara tersebut.
Bagaimanapun, Dr Zulkifli dalam satu hantaran di Threads tampil memberikan penjelasan bagi menjawab kekeliruan yang timbul dalam kalangan netizen.
Mengapa Saya Menterbalikkan Tangan Ketika Berdoa?

Ramai yang bertanya mengapa saya menterbalikkan tangan pada beberapa bahagian ketika membaca doa dalam majlis pernikahan YB Syed Saddiq dan Puan Dayang Nabellah.
Untuk penjelasan, ketika itu saya sedang membaca doa memohon perlindungan daripada bala dan penyakit.
Perbuatan tersebut mempunyai sandaran daripada sunnah Rasulullah ﷺ, khususnya ketika Baginda memohon hujan.
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَسْقَى فَأَشَارَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ إِلَى السَّمَاءِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi ﷺ memohon hujan, lalu Baginda mengisyaratkan ke arah langit dengan belakang kedua-dua tapak tangannya.”
(Hadis riwayat Muslim, no. 895).
Hadis ini menjadi sandaran ulama dalam membincangkan keadaan tertentu ketika berdoa dengan membalikkan tangan, khususnya bagi memohon agar kesusahan diangkat dan keadaan yang buruk diubah dengan rahmat Allah SWT.
Imam al-Nawawi رحمه الله menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim:
قال جماعة من أصحابنا وغيرهم: السنة في كل دعاء لرفع بلاء كالقحط ونحوه أن يرفع يديه ويجعل ظهر كفيه إلى السماء
Maksudnya: “Sebahagian ulama dalam kalangan kami dan selain mereka berpendapat bahawa sunat bagi doa untuk mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya, seseorang mengangkat kedua-dua tangannya dengan bahagian belakang tapak tangannya menghadap ke langit.”
Ilmu Baharu Buat Masyarakat
Perkongsian ini bukan sahaja menjawab persoalan ramai, malah menambah kefahaman dan ilmu pengetahuan masyarakat awam
