Kejayaan mentransformasikan produk selipar getah tempatan menjadi jenama bertaraf dunia melonjakkan nama Ketua Pegawai Eksekutif Fipper Group, Jee Von, apabila beliau diumumkan sebagai penerima anugerah berprestij Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2026. Penganugerahan ini merakamkan kepimpinan beliau dalam mengintegrasikan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), memacu pemodenan sektor pembuatan dan memperluas rangkaian pasaran antarabangsa.
Berbekalkan disiplin pemikiran analitikal daripada bidang Sains Aktuari dan kelayakan MBA, Jee Von menyuntik pendekatan berasaskan data ke dalam sektor pemasaran dan pengendalian perniagaan runcit ini. Di bawah kepimpinan beliau, rangkaian peruncitan Fipper kini berkembang ke 19 buah negara dan wilayah dengan lebih 150 outlet. Pada April 2026, beliau sebagai anak Melaka, juga meraih kemenangan sebagai Anugerah Khas Usahawan 2026 dan Usahawan Belia (Johan) 2026 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Melaka.


Di atas pentas majlis anugerah, Jee Von menegaskan bahawa perluasan perniagaan skala besar mesti bergerak seiring dengan strategi ESG. Kejayaan perniagaan tidak pernah diukur menerusi penunjuk kewangan semata-mata. Fipper komited menggunakan getah semula jadi yang mesra alam bagi menggantikan plastik sintetik, di samping membina mekanisme bantuan sosial korporat (CSR) menerusi projek ‘Fipper Sayang’ bagi menyokong komuniti yang memerlukan. Kejayaan komersial tidak membawa sebarang erti sekiranya kita tidak mengangkat dan membantu insan sesama lain.
“Kepada anak-anak muda di luar sana: jangan biarkan sesiapa membataskan impian anda. Jika sepasang selipar getah tempatan mampu mengelilingi dunia, impian anda juga tiada batasnya. Komitmen saya kekal teguh—untuk terus membawa jenama kebanggaan Malaysia ini ke seluruh dunia demi negara yang tercinta.” katanya.
Anugerah JCI TOYM Edisi 2026 membawa tema One Nation, One Vision dan dianjurkan JCI South Key di bawah JCI Malaysia. Ia mengiktiraf 10 rakyat Malaysia berusia antara 18 dan 40 tahun berdasarkan pencapaian serta sumbangan dalam 10 kategori. Senarai pemenang seperti berikut:-
Raja Angellie Stephen – Hal Ehwal Politik, Perundangan dan/atau Kerajaan
Tan Jian Ping – Pembangunan Saintifik dan/atau Teknologi
Yap Shaw Wann – Sumbangan kepada Kanak-Kanak, Keamanan Dunia dan/atau Hak Asasi Manusia
Galvin Lee Kuan Sian – Kepimpinan dan/atau Pencapaian Akademik
Viknesh Andiappan Murugappan – Pembangunan Saintifik dan/atau Teknologi
Chai Nyuk Chuan – Kepimpinan Kemanusiaan dan/atau Sukarelawan
Vincent Khor Wei Sheng – Inovasi Perubatan
Choong Jee Von – Pencapaian Perniagaan, Ekonomi dan/atau Keusahawanan
Klaus Lim Chun – Sumbangan kepada Kanak-Kanak, Keamanan Dunia dan/atau Hak Asasi Manusia
Sam Tsen Mun Ket – Kepimpinan Moral dan/atau Alam Sekitar
