Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pilih Berhijrah Ke Negeri Paling Bahagia, Wanita Akui Kehidupan Kini Lebih Tenang
Sudah menjadi fitrah, setiap manusia inginkan hidup dalam keadaan tenang, tanpa memikirkan masalah yang ada.
Tak kisah setinggi mana jawatan, sebanyak mana duit atau semeriah mana kehidupan di media sosial, akhirnya ramai mula sedar bahawa hidup tenang itu lebih berharga.
Tenang bila bangun pagi tanpa tekanan melampau, tenang bila hati tak dibebani masalah yang tak pernah habis dan tenang bila dapat luangkan masa dengan orang yang disayangi tanpa perlu fikir terlalu banyak perkara.
Namun, untuk dapat hidup tenang bukan sesuatu yang mudah, tambahan lagi dalam dunia yang sentiasa bergerak laju, ramai terpaksa berdepan tekanan kerja, masalah kewangan dan pelbagai tuntutan hidup sehingga ada yang penat secara mental dan emosi.
Sebab itu, ramai mula mencari cara untuk hidup dengan perlahan dan sederhana, menjaga kesihatan diri dan memberi ruang kepada diri sendiri agar dapat menikmati kehidupan dengan lebih damai dan bahagia.
Seperti yang dikongsi oleh salah seorang pengguna Facebook, Atie Baharain, yang sudah sebulan tinggalkan kehidupan di kota, demi untuk hidup di negeri paling bahagia, Terengganu.
Kongsinya di Facebook, hari ini genap sebulan dia dan enam lagi adik beradik lain berhijrah ke negeri paling bahagia.
Ujarnya, itu adalah idea saat akhir apabila kewangannya berada dalam situasi kritikal dan keadaan ekonomi global yang huru-hara.
"Keputusan perlu segera aku buat demi kelangsungan hidup kami. Berhijrah ke sini, jauh dari kesibukan kota. Taraf hidup juga jauh beza," tambahnya.
Malah, ujarnya lagi, kalau dulu, healing mungkin ke gedung membeli-belah, namun kini ke pantai. Dulu, lambat keluar rumah, terkejar-kejar dengan kesesakan lalu lintas, tapi kini, jarak perjalanan ke sekolah, pasar borong, Pasar Payang dan pantai tidak lebih 15 hingga 20 minit.
"Dulu, nak keluar mesti periksa baki RFID atau TnG tapi sekarang hanya perlu periksa minyak bila kali terakhir diisi. Slow living. Kehidupan idaman orang-orang pencen kata mereka.
"Kuasa membeli juga tak sekuat di bandar. Di sini masih lagi boleh beli 3 keping pisang goreng dengan harga RM1, 6 biji cekodok pisang RM1 dan kuih mek molek 5 biji RM3," kongsinya.

Kini, sebulan dia berada di sana dan masih dalam fasa menyesuaikan diri dengan makanan dan perbezaan bahasa.
"Anak-anak dah mula ke sekolah dan Alhamdulillah, dapat hantar enam beradik semua mengaji yang dulu tak pernah berkesempatan nak buat sebab kekangan masa," tambahnya.
Kongsinya juga, semoga setiap Alif Ba Ta yang anak-anaknya belajar, Allah hitung menjadi pahala buatnya yang berusaha menghantar mereka mengaji.
Malah, kawan-kawan, keluarga dan pelanggan yang sentiasa membantu memberi sokongan sewaktu berniaga di rumah juga, terpaksa ditinggalkan.
"Berat hati tapi aku cuba hitung nikmat Allah beri dengan hijrah ni sebab bukan semua orang Allah beri nikmat dimakbulkan doa nak masjid jarak 500 meter dari rumah," tambahnya.
Malah, setiap kali waktu azan berkumandang dan kuliah Dhuha diadakan, dia boleh mendengarnya sambil memasak di dapur.
"Nikmat masa yang paling mahal Allah bagi dengan hijrah ni. Doakan aku dan enam beradik baik- baik sahaja di sini menumpang tuah dan rezeki di bumi Terengganu Darul Iman.
"Jauh dari yang tempat selamat aku tapi dekat dengan sekeliling yang sentiasa ingatkan aku kepada Allah.
"Tenang itu mahal. Dulu sebut ikan sekarang ikang," selorohnya.