Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tempias Gangguan Di Selat Hormuz, Pengeluar Snek Jepun Tukar Bungkusan Kepada Hitam Putih
Dua bulan lebih telah berlalu, namun konflik antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel belum menemui jalan penamat.
Gencatan senjata yang dipersetujui pada awal April lalu juga kelihatan semakin goyah, dengan Iran dan Amerika Syarikat masih tidak menemui titik persamaan berkaitan rundingan damai.
Impaknya, operasi perkapalan di Selat Hormuz juga kembali terganggu dan hanya beberapa kapal saja yang dibenarkan melalui selat itu dengan kawalan ketat.
Untuk pengetahuan, ia juga telah memberi kesan secara langsung kepada syarikat makanan ringan popular di Jepun, Calbee.
Baru-baru ini, syarikat itu memaklumkan bahawa mereka akan menukar sementara pembungkusan beberapa produk popular kepada versi hitam putih susulan gangguan bekalan bahan mentah akibat situasi di Timur Tengah.
Ia melibatkan pembungkusan bagi 14 produk termasuk produk ikoniknya iaitu "Potato Chips" dan "Kappa Ebisen".
Syarikat itu berkata kesemua bungkusan produk akan ditukar kepada warna monokrom bermula 25 Mei ini.
Bagi memberikan penjelasan kepada pembeli, mereka telah mencetak pemberitahuan pada bungkusan kerepek kentang tersebut.
"Pembungkusan untuk menjimatkan bahan berkaitan petroleum," jelas mereka di bungkusan itu.
Menurut Calbee, perubahan itu dibuat berikutan ketidakstabilan dalam perolehan dakwat percetakan dan bahan lain di tengah-tengah ketegangan di Timur Tengah.
Syarikat berkenaan berharap langkah memudahkan reka bentuk pembungkusan itu dapat memastikan bekalan produknya kekal stabil.
Mereka juga berikrar untuk terus bertindak secara fleksibel dan pantas terhadap perubahan persekitaran operasi termasuk risiko geopolitik.
Produk petroleum yang penting dalam industri ini ialah Nafta. Ia kadang kala digunakan dalam sebahagian proses pembuatan dakwat.

Sebelum pengumuman dibuat, pegawai syarikat dilaporkan telah bertemu dengan kementerian pertanian Jepun bagi menjelaskan keputusan menukar pembungkusan tersebut.
Kementerian itu dilaporkan memaklumkan bahawa pihaknya akan membantu dalam urusan berkaitan perolehan produk petroleum bersama agensi kerajaan lain yang berkaitan dengan industri makanan.
Sementara itu, Itoham Yonekyu Holdings yang menghasilkan produk daging diproses turut dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk memudahkan reka bentuk pembungkusannya.
Sebuah kumpulan industri yang mewakili pengeluar pembungkusan makanan dan dakwat percetakan pula memaklumkan bahawa ahli-ahlinya mula mengehadkan bekalan atau menangguhkan penghantaran susulan kenaikan mendadak kos bahan mentah.