Tandas yang bersih sememangnya menjadi pilihan ramai, tetapi kehadiran tandas pintar menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih selesa, moden dan menarik.
Dalam satu hantaran, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata tandas pintar pertama Malaysia, BMW-i kini ada di Dataran Putra, Putrajaya.
Tandas BMW-i (Bersih, Menawan, Wangi & Pintar) itu telah dirasmikan pada Selasa.
Tandas Pintar BMW-I Pertama Malaysia

“Tandas pintar ni terletak di Dataran Putra, sebelah Masjid Putra, khas untuk keselesaan orang ramai dan pelancong yang datang jalan-jalan kat Putrajaya,” katanya.
Ujarnya, sempena Tahun Melawat Malaysia, tanggapan pertama yang diberikan kepada pelancong luar negara perlulah mengagumkan.
“Sempena Tahun Melawat Malaysia ni, mestilah kita nak bagi first impression yang gempak kat pelancong luar negara kan,” ujarnya.
Sementara itu, tandas BMW-i ini dilengkapi teknologi pintar yang membolehkan pili air, dispenser sabun dan pam tandas berfungsi secara automatik tanpa perlu disentuh pengguna.

Selain itu, tandas ini turut dilengkapi sensor untuk memantau kualiti udara dan tahap kebersihan, selain menyediakan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).
Bagaimanapun, Nga turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan tandas berkenaan kerana tanggungjawab itu terletak pada setiap pengguna.
“Cuma satu je saya nak pesan, siapa yang guna tandas ni, tolong jaga elok-elok ya.
“Kerajaan boleh sediakan kemudahan yang tip-top, tapi bab kebersihan ni akhirnya bergantung kepada sikap kita juga.
“Kebersihan awam, tanggungjawab kita semua,” katanya.



