Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

"Takdir Sudah Tertulis..." Bapa Reda, Kongsi Detik Kehilangan Tiga Bayi Kembar
Tidak dinafikan, kehilangan insan tersayang merupakan antara ujian paling berat yang terpaksa ditempuhi dalam kehidupan.
Lebih-lebih lagi apabila melibatkan anak yang dikandung dan dinantikan penuh kasih sayang sejak awal kehamilan.
Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan seorang ibu dan ayah apabila impian untuk menyambut kelahiran cahaya mata akhirnya bertukar menjadi detik penuh duka dalam sekelip mata.
Sebagai hamba-Nya, setiap ketentuan yang berlaku tetap perlu diterima dengan hati yang reda kerana sesungguhnya setiap takdir telah pun tertulis.
Baru-baru ini, tular sebuah video menyentuh hati di media sosial mengenai sepasang suami isteri yang diuji dengan kehilangan tiga bayi kembar mereka dalam tempoh yang sangat singkat.
Menerusi hantaran yang dikongsikan oleh @coach.amirul.badminton di TikTok, si bapa berkongsi kronologi hari-hari terakhir sebelum isterinya dimasukkan ke hospital untuk proses kelahiran.

Menurutnya, pada Isnin 11 Mei mereka masih sempat melakukan pemeriksaan jantung bayi serta mengetahui jantina anak-anak yang dikandung.
Malah, sehari selepas itu mereka turut berbincang mengenai perancangan untuk membuat kejutan kepada rakan di Pulau Pinang selain membeli beberapa barangan keperluan bayi.
Namun pada Rabu, keadaan berubah apabila si ibu menghubungi suaminya ketika dia berada di mahkamah sebelum terus dikejarkan ke hospital.
“Pada Khamis jam 9.45 pagi, isteri terpaksa dibawa masuk ke bilik bersalin. Pukul 10 pagi, Aisy Madeeha keluar
“Sekitar pukul 4 petang, doktor panggil daddy untuk berbincang mengenai prosedur pembedahan czer untuk selamatkan ibu
“Pukul 6 petang, doktor hubungi daddy dan meminta untuk membawa Aisy Mateen dan Aisy Mareesa ke forensik untuk mandi dan kafan,” kongsinya.
Tambah @coach.amirul.badminton lagi, ketiga-tiga bayi mereka iaitu Aisy Madeeha, Aisy Mateen dan Aisy Mareesa akhirnya tidak dapat diselamatkan.
Walaupun berdepan ujian yang amat berat, pasangan tersebut tetap menerima takdir yang berlaku dengan hati yang reda demi anak sulung mereka.
“Takdir sudah tertulis. Daddy dan ibu terima dengan hati yang reda.
“Aisy Madeeha, Aisy Mateen dan Aisy Mareesa tunggu daddy, ibu dan kakak Aisy Madeena di syurga ya nak,” tulisnya lagi.

Perkongsian tersebut turut mengundang sebak dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan agar pasangan berkenaan terus diberikan kekuatan menghadapi ujian tersebut.
“Ya Allah, tiga kembar. Tak layak nak suruh sabar. Walaupun sendiri pernah merasa kehilangan anak, mereka diuji lebih hebat,” tulis seorang warga maya.
“Bukan calang-calang orang Allah beri ujian hebat macam ni. Pasti kedua ibu ayahnya juga orang hebat. Salam takziah,” komen seorang lagi warga maya.