Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Asyik Sup & Goreng Kunyit Je, Cuba Resipi Daging Goreng Bawang Putih Ini

Aina Munirah
Resipi Daging Goreng Bawang Putih
Kredit: @fatihahanapi

Asyik Sup & Goreng Kunyit Je, Cuba Resipi Daging Goreng Bawang Putih Ini

Setiap kali raya korban, peti ais rumah masing-masing pasti dipenuhi dengan lambakan daging yang telah diagihkan.

Ada yang penuh dengan bahagian tulang, bahagian batang pinang, organ dalaman dan macam-macam lagi. Kadang-kadang, ada yang ambik masa berminggu-minggu untuk habiskan stok daging tersebut.

Malah, ada yang turut buntu memikirkan, juadah apa lagi yang sesuai untuk dihidangkan kepada keluarga. Mungkin menu yang sama berulang kali pun, membuatkan kita akan merasa jemu dengan lauk tersebut.

Selain dari daging masak kicap, daging goreng kunyit ataupun sup daging, apa kata kalau kita cuba resipi daging goreng bawang putih yang telah dikongsi oleh salah seorang pengguna TikTok, @fatihahanapi.

Bahan-bahan daging goreng bawang putih

  • 300-400g daging

  • 2 sudu besar sos tiram

  • 1 sudu besar madu

  • 4 sudu besar kicap

  • 1 sudu besar serbuk lada hitam

  • 1 labu bawang putih

  • 3 biji bawang merah

  • 2 biji cili merah

  • 5 helai daun limau purut

  • 2 sudu kecil sos ikan

  • 1 sudu kecil serbuk perasa

Cara penyediaan

Mula-mula, perapkan daging dengan sos tiram, madu, kicap dan serbuk lada hitam.Perapkan daging tersebut sekurang-kurangnya 30 minit.

Kredit: @fatihahanapi

Sementara anda perapkan daging, anda boleh mula menggoreng bawang putih yang telah dicincang halus. Goreng bawang putih tersebut sehingga perang keemasan. Selepas itu, anda boleh angkat dan toskan.

Kredit: @fatihahanapi

Langkah seterusnya, anda boleh mula menggoreng daging yang telah diperap tadi sehingga masak.

"Goreng daging sampai ada sikit hangit-hangit kuali," ujarnya.

Kredit: @fatihahanapi

Selepas itu, anda boleh angkat dan toskan daging yang telah masak.

Seterusnya, anda boleh mula mengisar bawang merah dan cili merah sehingga lumat. Kemudian, tumis bahan kisar tersebut sehingga naik bau.

Masukkan pula daun limau purut, sos ikan dan serbuk perasa dan tumis sebentar.

Selepas itu, barulah masukkan daging yang telah digoreng tadi. Gaulkan sebentar dan akhir sekali, barulah masukkan bawang putih yang telah digoreng tadi.

Kredit: @fatihahanapi

Biarkan seketika dan daging goreng bawang putih anda siap untuk dihidang.

Selamat mencuba! Untuk mengetahui cara penyediaan dengan lebih jelas, anda boleh tonton video di bawah ini.