Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tak Perlu Buat Banyak Kali, Wanita Kongsi Teknik ‘Rahsia’ Cili Kisar Tahan Lama Tanpa Berkulat

Athirah
Cili Kisar Tahan Lama
Kredit: @sheerospanks
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Tak Perlu Buat Banyak Kali, Wanita Kongsi Teknik ‘Rahsia’ Cili Kisar Tahan Lama Tanpa Berkulat

Pelbagai jenis masakan di negara ini sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada penggunaan cili.

Rasa pedasnya seakan melengkapkan hidangan, menjadikannya lebih “kick” dan menyengat selera.

Biasanya, cili kisar akan menjadi stok wajib yang disimpan dalam peti sejuk untuk digunakan bila-bila masa.

Namun begitu, sayangnya selepas dikisar, ia tidak mampu bertahan lama.

Ada kalanya, hanya dalam tempoh seminggu sahaja ia sudah mula berbau dan berkulat, sekali gus terpaksa dibuang walaupun masih belum habis digunakan.

Cara buat cili kisar tahan lama tanpa berkulat

Baru-baru ini, seorang pengguna Threads telah berkongsi cara penyediaan cili kisar supaya lebih tahan lama sehingga berbulan-bulan.

Menerusi perkongsian @sheerospanks, mula-mula gunting cili kering tersebut supaya biji di dalamnya mudah keluar. Banyak mana pun bergantung pada keperluan masing-masing.

Semasa membasuh cili menggunakan air paip, ramas perlahan-lahan untuk menanggalkan segala kotoran yang melekat pada cili kering.

Selepas itu, tapis dan bilas semula. Proses ini diulang sebanyak 4–5 kali sehingga air bilasan kelihatan lebih jernih, kemudian biji cili yang terpisah boleh dibuang.

Untuk bilasan terakhir, gunakan air bersih seperti air tapis atau air mineral tanpa meramas cili.

Menurut @sheerospanks, masukkan cili ke dalam periuk dan rebus menggunakan air bersih sehingga teksturnya menjadi lembut.

Difahamkan, proses ini membantu memudahkan cili dikisar serta meningkatkan ketahanan hasil akhir.

"Sementara menunggu cili direbus, kupas bawang merah dan bawang putih secukupnya, tidak perlu dalam kuantiti yang terlalu banyak.

"Anggaran 'agak-agak' sebab setiap kali memasak, saya akan sediakan bawang kisar secara berasingan, jadi yang ini sekadar pelengkap sahaja

"Cuma yang penting ialah bawang putih, kerana ia mempunyai sifat antibakteria dan antikulat," ujarnya.

Selepas cili menjadi lembut, buangkan air rebusan dan bilas sekali lagi menggunakan air bersih untuk menurunkan suhu cili. Kemudian, toskan sehingga benar-benar kering sebelum digunakan atau dikisar.

Langkah seterusnya ialah memasukkan cili, bawang merah dan bawang putih ke dalam pengisar.

Kemudian, tambahkan garam kasar sebagai bahan yang membantu memperlahankan pertumbuhan bakteria, diikuti minyak masak kira-kira separuh bekas pengisar dan sedikit air.

Kisar sehingga mencapai tekstur yang diingini.

Apabila siap, tuangkan cili kisar ke dalam bekas kedap udara yang bersih dan kering. Simpan di dalam peti sejuk bagi memastikan ketahanan lebih lama serta mengekalkan kesegarannya.

"Insya-Allah, cili kisar ini tahan lama dan tidak mudah rosak atau berkulat. Ia boleh bertahan di bahagian chiller peti sejuk sehingga habis digunakan, dengan syarat disimpan dengan betul

"Pastikan ia diletakkan di dalam peti ais, bukan ditinggalkan di atas meja atau berhampiran dapur gas selepas siap disediakan.

"Cara ini sudah saya gunakan bertahun-tahun. Yang penting, setiap kali hendak digunakan, pastikan sudu yang digunakan sentiasa bersih dan kering

"Jangan gunakan sudu yang sama untuk menggaul lauk kemudian terus menceduk cili kisar, bagi mengelakkan pencemaran dan memastikan ketahanan lebih lama," katanya lagi.

Sumber:Threads