Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tak Boleh Hanya Diam, Inilah Ketakutan Terbesar Mak Ayah Bila Anak Dah Bersekolah
Apabila anak dah mula bersekolah, mesti ramai yang teruja terutamanya dalam kalangan mak ayah. Mungkin, dalam hati mereka terdetik dan terfikir yang anak mereka sudah pun besar, malahan sudah duduk di bangku sekolah lagi.
Namun, di sebalik keterujaan itu, pasti ada keresahan dan ketakutan yang mengganggu ibu bapa, sama ada daripada segi akademik, sikap, rakan sebaya, pengaruh dan banyak lagi. Memang patut lah, ibu bapa mana yang tidak risau sekiranya anak mereka sudah berada di luar kawalan mereka. Pelbagai persoalan timbul, antaranya, okay ke dia kat sekolah, makan ke, boleh ke dia terima ilmu cikgu ajar, kawan-kawan sekelas suka dia tak dan macam-macam lagi.
Kalau ada anak di sekolah, ibu bapa mungkin akan terfikir atau risaukan tentang 4 perkara ini:-
Ketinggalan Dalam Pelajaran
Impian setiap ibu bapa ingin melihat anak mereka berjaya dalam bidang akademik. Oleh sebab itu, timbul juga kerisauan sekiranya anak mereka ketinggalan dalam pelajaran yang dipelajari di sekolah. Antaranya senarionya adalah anak lambat tangkap apa yang diajar cikgu, sehingga membawa kepada keputusan corot. Lebih ditakutkan juga, jika anak mereka terpaksa dipindahkan ke kelas paling belakang.

Terpengaruh Dengan Persekitaran
Apabila anak sudah berada dalam komunitinya sendiri, yakni rakan sebaya di dalam kelas, pelbagai sikap akan timbul. Namun, apa yang dirisaukan apabila sikap negatif yang dijadikan contoh serta diamalkan. Antaranya adalah seperti bahasa menjadi kasar dan tingkah laku yang semakin agresif.
Anak Jadi Mangsa Buli
Antara lain yang ditakutkan apabila anak tidak berasa senang hati berada di sekolah, terutamanya di dalam kelasnya sendiri. Bukan apa, jika anak menjadi mangsa buli, dia mungkin akan dipulaukan, diejek atau dipukul atas sebab tertentu, malah ada kalanya tanpa sebarang sebab pun. Perbuatan tersebut juga boleh memberi kesan psikologi dan mental terhadap anak, sehinggakan sikap mereka di rumah juga berubah.
Anak Sendiri Jadi Pembuli
Apabila sudah bergaul dengan rakan-rakan dengan pelbagai sikap, mungkin timbul rasa diri terpaling kuat di antara yang lain. Sudahnya, mereka akan berasa kurang empati, lepaskan tekanan dengan cara salah dan akhirnya bergelar seorang pembuli tanpa sedar. Tiada apa yang boleh dibanggakan sebagai seorang ibu bapa pembuli, oleh itu inilah antara perkara yang sangat ditakutkan oleh mereka.

Bila anak jadi pembuli, pelbagai pihak mula dituding jari, menghukum tanpa berfikir secara logik siapa yang bertanggungjawab sebenarnya. Walaupun pelbagai pihak boleh dikaitkan, namun peranan terbesar perlulah diambil oleh ibu bapa sendiri bagi mengawal dan mencorakkan sebetulnya anak mereka.
Perkara sebegini tidak boleh hanya lepaskan tanggungjawab kepada pihak sekolah semata-mata, tapi ibu bapa perlu menasihati, melarang, membendung anak mereka supaya tidak tergolong dalam kumpulan pembuli. Antara lain adalah sebagai kanak-kanak, mereka juga terikut dengan sikap kita sendiri di rumah. Mungkin kelakuan kita di rumah agak kasar, sehingga anak berminat untuk mencontohinya dan dizahirkan pada rakan-rakan di sekolah.
Seperti semua sudah sedar dan akui, gejala buli ini tidak mendatangkan sekelumit faedah pun, malah boleh memberikan kesan buruk kepada pembuli sendiri dan juga mangsa. Oleh itu, tidak kiralah ibu bapa, keluarga, pihak sekolah, guru malah diri sendiri pun, perlu sedar bahawa tanggungjawab menangani buli ini adalah tanggungjawab bersama.
Sedangkan, di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) pun telah mengambil serius tentang budaya negatif ini. Seperti yang KPM telah tegaskan sebelum ini, tiada kompromi terhadap salah laku buli, ia perlu dilaporkan diambil tindakan tegas.

Langkah ini bukanlah semata-mata menghukum, tetapi juga bagi memberi peringatan kepada mana-mana pelajar yang berhasrat atau ingin terjebak dalam gejala buli, bahawa tiada ruang untuk mereka berbuat demikian.
Seperti yang diperkatakan, tanggungjawab menangani buli adalah bersama, dan langkah menanganinya tidak dapat dilakukan dengan sempurna jika ada pihak tidak memainkan peranan dengan baik.
Sebagai ibu bapa, mereka perlu ambil peduli tentang perubahan sikap sikap anak. Sekiranya sikapnya berubah menjadi seperti sering mendiamkan diri, mungkin anak tersebut telah menjadi mangsa buli. Oleh demikian, janganlah ambil ringan tentang aduan atau cerita yang dibawa pulang anak dari sekolah.
Beralih kepada peranan sekolah dan guru pula, tindakan tanpa pilih kasih perlulah diambil sekiranya seseorang pelajar itu disahkan melakukan perbuatan tersebut. Selain itu, saluran aduan yang selamat dan sulit juga perlu diadakan kerana bukan semua mangsa buli berani tampil ke hadapan.
Untuk rakan sebaya pula, mereka juga mainkan peranan yang mana boleh menjadi ‘lidah’ kepada mangsa buli agar perbuatan tersebut diketahui oleh pihak yang sepatutnya. Rakan sebaya tidak sepatutnya jadi pemerhati pasif, perlu berani laporkan jika melihat kejadian buli di hadapannya.

Bagi masyarakat sekitar pula, janganlah dianggap buli ini sebagai perkara biasa yang setiap budak perlu melaluinya. Mungkin ada yang beranggapan untuk biarkan supaya seseorang yang dibuli itu menjadi lebih keras dan gagah, namun begitu caranya. Masyarakat juga boleh memainkan peranan menghalang atau menasihati sekiranya berdepan dengan gejala ini di luar sekolah.
Menangani gejala buli bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Jika semua hanya melihat dan berdiam diri, budaya buli akan terus membiak. Tetapi bila semua bangkit memainkan peranan, sekolah boleh kembali menjadi tempat yang selamat, bukan medan ketakutan. KPM sendiri telah mengolah pelbagai resipi supaya budaya negatif ini tidak terus menular ke dalam komuniti sekolah. Jadi, pihak lain juga perlu mainkan peranan masing-masing agar usaha ini dapat mencapai rekod sifar buli di sesebuah sekolah.
Pelbagai inisiatif tangani buli boleh dilihat melalui laman Kementerian Pendidikan Malaysia, antaranya di Facebook, Instagram dan laman web KPM.