Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan membebaskan beliau daripada pertuduhan yang dihadapinya.
Katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini, keputusan mahkamah itu bukan sekadar mengenai kebebasan dirinya, sebaliknya menjadi simbol bahawa kebenaran perlu dipertahankan walau berdepan pelbagai cabaran.
“Alhamdulillah. Hari ini, mahkamah tertinggi negara telah membuat keputusan. Pembebasan saya kekal.
“Tetapi hari ini bukan sekadar tentang kebebasan saya. Ini tentang satu prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan, walaupun harga yang perlu dibayar sangat mahal,” katanya.
Menurut Syed Saddiq, sepanjang lebih enam tahun berdepan proses perundangan, beliau tidak pernah mengelak, menangguhkan prosiding atau meminta layanan istimewa.
Beliau berkata, pendiriannya itu lahir daripada kepercayaan bahawa Malaysia perlu dipimpin oleh individu yang sanggup mempertahankan prinsip walaupun terpaksa mengorbankan kedudukan.
“Saya percaya Malaysia mesti dipimpin oleh mereka yang sanggup kehilangan kedudukan demi prinsip, bukan menjual prinsip demi kedudukan.
“Saya boleh memilih jalan yang lebih mudah. Saya boleh berdiam diri. Saya boleh tunduk. Tetapi kalau kita sendiri menyerah ketika diuji, bagaimana kita mahu meminta rakyat terus percaya kepada negara ini?” katanya.
Tambah beliau, perjuangannya bukan didorong oleh kebencian terhadap mana-mana pihak, sebaliknya kerana kecintaannya terhadap negara.
“Saya melawan bukan kerana saya membenci sesiapa. Saya melawan kerana saya terlalu mencintai Malaysia.
“Perjalanan ini hampir merampas banyak daripada saya... masa, nama baik dan masa depan. Tetapi ia tidak pernah merampas kepercayaan saya terhadap Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut merakamkan penghargaan kepada kedua ibu bapanya, ahli keluarga, tunangnya, pasukan peguam, sahabat-sahabat serta rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan sokongan dan doa sepanjang tempoh perbicaraan.
Beliau berkata, pengalaman itu mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan hanyalah bersifat sementara, manakala prinsip, maruah dan khidmat kepada rakyat merupakan legasi yang lebih bermakna.
“Hari ini bukan hari untuk membalas dendam. Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian, tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar.
“Selepas ini, saya terus ke Parlimen kerana perjuangan ini tidak pernah hanya tentang saya. It has always been Malaysia first. Dulu, sekarang dan selamanya,” katanya.