Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Suzuki Malaysia Lancar SV-7GX, Motosikal Crossover Dengan Enjin V-Twin 645cc

Suzuki Malaysia melancarkan Suzuki SV-7GX, motosikal crossover kelas pertengahan yang menggabungkan karakter sporty SV650 dengan ciri keselesaan dan teknologi bantuan tunggangan bagi kegunaan harian serta perjalanan jarak jauh.

Iklan

Menurut Suzuki Malaysia dalam kenyataan, model baharu itu menampilkan posisi tunggangan tegak dan direka untuk memenuhi pelbagai keperluan penunggang, termasuk perjalanan di bandar, laluan berliku serta pengembaraan hujung minggu.

Pelancarannya disempurnakan Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, bersama Pegawai Pengurusan dan Pengurus Besar Eksekutif Operasi Motosikal Suzuki Motor Corporation, Takashi Ise.

Majlis berlangsung bersempena AMI Suzuki New Model Launch & Gala Dinner 2026 di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South pada 23 November.

SV-7GX menggunakan enjin V-Twin 90 darjah berkapasiti 645cc, dengan sistem penyejukan cecair dan aci sesondol atas berkembar (DOHC), yang meneruskan pembangunan rangkaian enjin model SV650.

Menurut syarikat itu, enjin berkenaan menawarkan penyampaian kuasa lancar serta tindak balas yang mudah dikawal untuk pelbagai keadaan tunggangan.

Enjin itu dipadankan dengan rangka keluli jenis trellis, manakala sistem suspensi dengan jarak gerakan panjang direka bagi menyokong keselesaan dan pengendalian.

Sistem breknya pula menggunakan dua cakera hadapan jenis terapung berukuran 290 milimeter, angkup empat omboh serta sistem brek antikunci (ABS).

Dari segi teknologi, SV-7GX dilengkapi Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) yang merangkumi Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), bagi membolehkan penunggang memilih karakter penyampaian kuasa mengikut kesesuaian tunggangan.

Model itu turut menawarkan Suzuki Traction Control System (STCS) dengan tiga mod pilihan dan tetapan untuk menyahaktifkan sistem, selain sistem penukaran gear pantas dua hala yang membolehkan pertukaran gear naik dan turun tanpa menggunakan klac.

Ciri lain termasuk Suzuki Easy Start System dan Low RPM Assist bagi membantu proses menghidupkan enjin serta pergerakan pada kelajuan rendah.

SV-7GX juga dilengkapi paparan TFT berwarna penuh berukuran 4.2 inci dengan Suzuki Ride Connect+, yang menyokong sambungan telefon pintar iOS dan Android.

Antara fungsi yang ditawarkan ialah panduan navigasi selekoh demi selekoh, pemberitahuan panggilan dan mesej serta maklumat cuaca dan trafik. Port pengecasan USB Type-C turut disediakan.

Bagi keselesaan perjalanan jauh, motosikal itu menampilkan cermin angin boleh laras tiga tahap, tempat duduk dengan kusyen lebih tebal, pelindung buku jari bersepadu dan tangki bahan api berkapasiti 17.4 liter.

Kelengkapan lain merangkumi rak belakang, pemegang belakang yang besar serta sistem pencahayaan LED sepenuhnya, termasuk lampu utama projektor LED dwifungsi.

Menurut Suzuki Malaysia, pelanggan turut boleh memilih aksesori seperti tempat duduk Comfort High Seat, cermin angin Touring Screen, kotak simpanan belakang, beg sisi lembut dan pemanas pemegang, tertakluk kepada ketersediaan dalam pasaran tempatan.

SV-7GX ditawarkan dalam empat pilihan warna, iaitu gabungan Pearl Brilliant White dengan Metallic Triton Blue, Pearl Mat Greige, Glass Sparkle Black dan Pearl Brilliant White.

Maklumat lanjut mengenai model berkenaan serta lokasi bilik pameran sah boleh diperoleh menerusi laman sesawang [www.suzuki.com.my](https://www.suzuki.com.my).

Intipati
  • Suzuki Malaysia melancarkan SV-7GX, motosikal crossover kelas pertengahan berasaskan karakter sporty SV650.
  • Model itu menggunakan enjin V-Twin 645cc, rangka trellis, suspensi jarak panjang dan ABS.
  • SV-7GX dilengkapi S.I.R.S., kawalan traksi, penukar gear pantas dan Suzuki Ride Connect+.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan