Taj Izrin Aiman Taj Madira menjadi penyumbang pingat emas kedua buat Kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya apabila menjuarai acara e-sukan Perlumbaan Gran Turismo 7 di Aichi Sky Expo Hall D, sebentar tadi.
Emas kedua Malaysia
Memetik laporan Stadium Astro, anak didik Alex Yoong itu berjaya mengumpul mata tertinggi menerusi tiga perlumbaan akhir, sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari Arab Saudi dan Korea Selatan.
Taj Izrin pada awalnya menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pertama dan kedua untuk meraih 18 mata sebelum mendominasi perlumbaan ketiga dengan memecut laju untuk bergelar juara sulung e-sukan buat kem kebangsaan.
Kejayaan itu merupakan pingat emas pertama dalam sejarah buat e-sukan Malaysia dalam temasya berkenaan, selain acara tersebut adalah kali pertama dipertandingkan.
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menjanjikan RM20,000 kepada setiap pasukan e-sukan kebangsaan yang meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya kali ini.
Terdahulu, Adeola Fay Robert menjadi penyumbang emas pertama kontinjen negara menerusi final karate kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 semalam.

