Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

NILAI, 23 Mei (Bernama) -- Selepas puluhan tahun berkecimpung dalam industri minyak dan gas, Nasura Mohd Yusof kini tenang menikmati kehidupan sebagai pesara sambil mengusahakan dusun durian seluas kira-kira 4.2 hektar bersama isterinya di Lenggeng di sini.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata kehidupan selepas bersara memberi peluang untuk beliau lebih dekat dengan alam selain mengekalkan gaya hidup aktif dan sihat menerusi aktiviti berkebun di DusunNas yang turut menawarkan inap desa.
Bekas kontraktor berusia 65 tahun itu berkata minat mendalam terhadap dunia pertanian, khususnya penanaman durian mendorong beliau membangunkan dusun berkenaan secara berperingkat sejak 2010 bersama isterinya, Siti Zulaina Bahro, 59.

“Minat berkebun dan gemar makan durian mendorong saya untuk berusaha memiliki dusun sendiri. Kami tinggal di Kajang, Selangor dan pada mulanya membeli tanah di Lenggeng seluas kira-kira 0.8 hektar yang ketika itu terdapat sekitar 25 pokok durian kampung.
"Alhamdulillah, sekarang keluasan dusun ini sudah mencecah 4.2 hektar dengan lebih 300 pokok durian pelbagai jenis termasuk durian Musang King, durian IOI dan durian kampung,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Nasura berkata pelanggan bukan sahaja boleh membeli malah menikmati pengalaman makan durian di kebun berkenaan dengan tempahan dibuat melalui aplikasi WhatsApp.
“Ketika mula membeli tanah di sini dahulu, harganya sekitar RM80,000 seekar tetapi kini sudah meningkat lebih RM250,000 seekar. Tahun lepas saya membeli tanah terakhir di sini iaitu untuk laluan masuk ke dusun,” katanya.
Selain durian, beliau turut mengusahakan kira-kira 30 pokok longan Brazil yang mempunyai keunikan tersendiri serta permintaan tinggi.
Nasura berkata dusun tersebut turut memperoleh pensijilan myGAP (Skim Amalan Pertanian Baik) daripada Jabatan Pertanian kira-kira lima tahun lepas, sekali gus menjadi antara pengusaha terawal di kawasan itu menerima pengiktirafan berkenaan.
“Kami juga bekerjasama dengan Jabatan Pertanian untuk mengadakan pelbagai program dan kursus berkaitan tanaman durian di dusun ini,” katanya.
Bagi mengekalkan gaya hidup sihat, Nasura turut berkongsi rutin harian bersama isterinya dengan melakukan aktiviti brisk walk di sekitar kampung dan kawasan dusun setiap pagi, sebagai usaha menjaga kesihatan di samping menikmati udara segar pada waktu pagi.

Di sebalik kesibukan Nasura menguruskan dusun durian yang menghijau, isterinya pula mengisi usia emas dengan cara tersendiri melalui dunia seni yang sarat ketenangan dan kreativiti.
Selain membantu suami menguruskan dusun, Siti Zulaina mendekatkan diri dengan seni melalui karya menggunakan teknik decoupage, iaitu seni menghias semula pelbagai barangan lama serta cenderhati yang diterima semasa majlis keraian.
Beliau yang meminati seni lukisan sejak kecil berkata aktiviti berkenaan bukan sekadar hobi, sebaliknya menjadi terapi diri yang membantu menenangkan fikiran serta mengisi masa lapang dengan lebih bermakna.

"Saya pergi kelas untuk mempelajari teknik decoupage ini dengan lebih mendalam, tema bunga merupakan pilihan utama dan teknik ini memerlukan kesabaran dan teliti. Secara tidak langsung saya dapat manfaatkan semula barangan terbuang untuk dijadikan hiasan," katanya.
Antara hasil kreatifnya termasuk tudung saji, kotak kayu tisu, hiasan peralatan dapur serta sabun yang dihias semula dengan sentuhan seni tersendiri, yang turut dihasilkan dan dipamerkan di sudut ruang rumah mereka di dusun tersebut.