KLUANG, 2 Okt (Bernama) -- Pasangan suami isteri maut manakala dua anak perempuan mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan kira-kira 5 petang itu membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Kluang menuju Kahang dan sebuah kenderaan Hyundai Matrix dari arah bertentangan.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Hyundai Matrix yang dipandu lelaki tempatan berusia 54 tahun itu dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan licin sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit.
“Akibat pertembungan itu, pemandu kereta dan isterinya berusia 49 tahun mengalami kecederaan parah pada kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua anak perempuan pasangan itu masing-masing berusia 24 dan 21 tahun yang berada di tempat duduk belakang turut mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di zon merah, Wad Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Jusoh Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata dua mangsa yang tersepit dalam kereta dikenali sebagai Mislan Osman dan isterinya Nor Azilah A Rahman, dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia.

