Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lama Menyepi, Stephen Chow Bakal Kembali Dengan “Kung Fu Soccer” Julai Ini

stephen chow kung fu soccer
Kredit: AFP

Lama Menyepi, Stephen Chow Bakal Kembali Dengan “Kung Fu Soccer” Julai Ini

Pengarah dan pelakon terkenal Hong Kong, Stephen Chow dilaporkan sedang membuat persiapan akhir untuk kembali ke layar perak menerusi filem terbaharunya, Kung Fu Soccer.

Menerusi satu video ringkas berdurasi 13 saat yang dikongsikan di media sosial sempena ulang tahunnya yang ke-64, Stephen memberi bayangan bahawa filem tersebut disasarkan untuk ditayangkan pada Julai ini.

Dalam video berkenaan, beliau berseloroh bahawa filem itu mungkin ditayangkan pada 10 Julai, atau seminggu kemudian sekiranya berlaku kelewatan.

Perkongsian tersebut turut disertakan dengan poster konsep lukisan tangan yang tertera “Kung Fu Soccer. July 10? July 17?”, sekali gus memberi petunjuk bahawa proses pascaproduksi kini berada di peringkat akhir.

Filem berkenaan mula menjalani penggambaran pada Mac 2025 dan selesai pada Jun tahun sama.

Pada awalnya, ia dijangka menemui penonton sempena Tahun Baharu Cina 2026, namun tarikh tayangan ditunda ke separuh kedua tahun ini.

Ditulis dan diarahkan sendiri oleh Stephen Chow, Kung Fu Soccer dilihat sebagai kesinambungan spiritual kepada filem ikonik Shaolin Soccer yang ditayangkan pada tahun 2001.

Bagaimanapun, kali ini jalan cerita memberi fokus kepada sebuah pasukan bola sepak wanita yang berusaha mencipta kejayaan dalam kejohanan fiksyen dikenali sebagai “Supreme Invincible Cup”.

Barisan pelakon filem itu diterajui pelakon China, Zhang Xiaofei bersama penyanyi dan pelakon Lay Zhang serta Dilraba Dilmurat.

Turut membuat kemunculan ialah bekas penjaga gol China, Zhao Lina dan pemain pertahanan Li Jiayue, manakala pelakon Korea Selatan, Song Kang-ho dijangka tampil sebagai cameo.

Filem ini juga menandakan kembalinya Stephen Chow ke kerusi pengarah selepas filem The New King of Comedy pada 2019.

Sepanjang lebih tiga dekad dalam industri perfileman, Stephen Chow dikenali sebagai antara pengarah komedi paling berpengaruh di Hong Kong menerusi karya seperti Kung Fu Hustle, CJ7 dan The Mermaid.

Untuk pasaran antarabangsa, syarikat Encore Films dilaporkan memperoleh hak pengedaran global bagi filem tersebut di luar China, manakala pasaran China akan dikendalikan oleh Maoyan Entertainment.

Kung Fu Soccer dijangka menjadi antara filem yang mengambil kesempatan daripada kemeriahan 2026 FIFA World Cup, dengan tayangan dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Kantonis, Inggeris, Korea, Jepun dan Thai.