Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

SPRM Tahan Lelaki Warga Singapura Dikehendaki, Serah Kepada CPIB

sprm tahan lelaki
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lepas, menahan seorang lelaki warga Singapura yang melarikan diri selama empat tahun dan dikehendaki oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), Singapura.

Iklan

Menurut sumber, lelaki berumur 30-an yang bekerja sendiri itu ditahan kira-kira 7 malam dalam satu operasi bersepadu melalui Bahagian Perisikan SPRM dan SPRM Johor dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di sekitar Johor.

Susulan itu, SPRM menerusi kerjasama rentas agensi antarabangsa CPIB dan Cawangan Bantuan Bersama Siasatan Luar Negara (FOMIA) SPRM menyerahkan suspek kepada CPIB di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, Johor semalam.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki terlibat dalam kes rasuah di Singapura selain masuk ke negara ini secara haram.

“Suspek turut dipercayai memberikan rasuah kepada pegawai penguat kuasa Malaysia sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan tinggal di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” menurut sumber.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.