Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Spesies Cicak Baharu Ditemui Di Pergunungan Andes Peru Pada Altitud Lebih 4,800 Meter

CICAK
Kredit: AFP

Saintis menemui spesies cicak baharu di kawasan pergunungan Andes, Peru, yang hidup pada altitud lebih 4,800 meter (15,750 kaki) dari aras laut.

Muzium Sejarah Alam Universiti San Marcos memaklumkan penemuan spesies berkenaan pada Sabtu, yang dinamakan Liolaemus archipensis.

Cicak berkenaan berukuran antara enam hingga lapan sentimeter dan mempunyai corak warna berbeza mengikut jantina.

Cicak betina mempunyai tompok berbentuk empat segi pada bahagian belakang, manakala cicak jantan mempunyai tompok menyerong serta sisik berwarna putih yang membantunya menyamar dengan persekitaran berbatu.

Spesies baharu itu ditemui di kawasan selatan Andes, wilayah Arequipa.

Makan Tumbuhan Dan Haiwan Kecil

Menurut ahli biologi yang mengetuai penyelidikan, Ling Huamani-Valderrama, cicak berkenaan memakan tumbuhan serta haiwan artropod kecil.

Antara makanan spesies itu termasuk labah-labah, kumbang, pepijat dan larva serangga.

“Penerangan mengenai spesies baharu merupakan satu kemajuan yang sangat penting untuk biodiversiti di negara kita,” katanya kepada AFP.

Menurut Huamani-Valderrama, Peru kini mempunyai 296 spesies cicak.

Penemuan spesies baharu berkenaan turut diterbitkan dalam jurnal saintifik Switzerland, Diversity.

Sumber:Gulf News
Intipati
  • Saintis menemui Liolaemus archipensis di pergunungan Andes Peru, melebihi altitud 4,800 meter.
  • Cicak baharu itu berukuran enam hingga lapan sentimeter dan bercorak berbeza mengikut jantina.
  • Menurut penyelidik, spesies itu memakan tumbuhan serta artropod kecil seperti labah-labah dan kumbang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan