Pernah tak terjaga daripada tidur tapi badan langsung tidak boleh bergerak, dan lagi menyeramkan, rasa macam ada sesuatu sedang memerhati dari hujung katil?
Malah, ada yang mendakwa melihat kelibat hitam, mendengar suara pelik atau merasakan sesuatu sedang menindih dada ketika mengalami fenomena ini.
Keadaan ini dikenali sebagai sleep paralysis atau kelumpuhan tidur, dan menurut pakar, pengalaman menyeramkan ini sebenarnya berkait rapat dengan aktiviti otak.
Pakar neurosains Universiti Harvard, Baland Jalal, menganggarkan seorang daripada lima orang pernah mengalami keadaan tersebut sekurang-kurangnya sekali.

Kenapa Sleep Paralysis Buat Kita Nampak Kelibat?
Menurut Jalal, keadaan ini berlaku apabila seseorang terbangun dari tidur tetapi mekanisme kelumpuhan otot ketika tidur masih belum kembali normal.
Ketika fasa tidur REM, otak lumpuhkan sementara pergerakan otot supaya tubuh tidak bertindak mengikut pergerakan dalam mimpi.
Tapi, apabila bahagian otak yang mengawal deria aktif lebih awal, seseorang boleh menyedari persekitaran walaupun badannya masih tidak mampu bergerak.
Dalam keadaan separuh sedar ini, otak boleh menghasilkan halusinasi sehingga seseorang terasa seperti melihat makhluk yang benar-benar berada di dalam bilik.
Antara pengalaman paling biasa ialah melihat kelibat menyeramkan, merasakan kehadiran seseorang atau seperti ada makhluk sedang menindih dada.
Jalal menjelaskan, otak mungkin mentafsir keadaan tubuh yang tidak boleh bergerak sebagai ancaman, lalu menghasilkan gambaran sesuatu yang mahu mencederakan.
Lebih menarik, bentuk makhluk yang dilihat juga boleh dipengaruhi kepercayaan dan budaya seseorang.
Sebagai contoh, individu yang gemar menonton filem sains fiksyen mungkin melihat makhluk asing, manakala masyarakat Mesir ada yang mengaitkannya dengan jin.
Ada juga yang melihat figura lelaki bertopi, dikenali sebagai Hat Man, atau bayangan menyerupai diri sendiri.
Kenapa Pengalaman Itu Terasa Real?
Menurut Jalal, tahap ketakutan ketika mengalami kelumpuhan tidur turut dipengaruhi amigdala, iaitu bahagian otak yang mengawal tindak balas terhadap rasa takut.
Apabila seseorang berada dalam keadaan cemas, aktiviti bahagian otak tersebut boleh meningkatkan ketakutan sehingga gambaran yang dilihat menjadi semakin mengerikan.
Malah, keresahan juga boleh meningkatkan kekerapan episod kelumpuhan tidur dan dalam sesetengah kes dikaitkan dengan gangguan tekanan selepas trauma (PTSD).
Satu kajian pada 2004 mendapati peserta yang mendengar semula rakaman pengalaman kelumpuhan tidur mereka menunjukkan tindak balas tekanan hampir sama seperti individu dengan PTSD.
Apa Boleh Buat Jika Alami Sleep Paralysis?
Jalal menjelaskan, sesetengah individu berjaya keluar daripada keadaan tersebut dengan menggerakkan jari tangan atau kaki secara perlahan.
Bagaimanapun, percubaan menggerakkan seluruh badan kadangkala boleh meningkatkan rasa panik dan menyebabkan pengalaman itu terasa lebih menakutkan.
Beliau mencadangkan supaya individu menutup mata, mengingatkan diri bahawa keadaan tersebut tidak berbahaya dan cuba menenangkan fikiran.
Mereka juga disarankan memberi perhatian kepada perkara yang menenangkan berbanding melawan kelumpuhan dengan memaksa tubuh bergerak.
Pendekatan meditasi dan relaksasi turut menunjukkan hasil positif dalam satu kajian rintis di Itali melibatkan pesakit narkolepsi.
Kajian tersebut mendapati episod kelumpuhan tidur berkurangan kira-kira 50 peratus dalam kalangan peserta yang kerap mengalaminya.
Walaupun pengalaman ini boleh terasa seperti diganggu sesuatu, penjelasan saintifik menunjukkan ia berkait dengan peralihan antara tidur dan keadaan berjaga.
Jadi, jika suatu malam korang terjaga tetapi tidak mampu bergerak, jangan terus fikir ada sesuatu sedang berdiri di sebelah katil.

