Jarak perjalanan yang jauh ke kawasan pedalaman bukan alasan untuk anak-anak Orang Asli terpaksa berdepan jarak lebih jauh pula demi mendapatkan pendidikan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kerajaan meluluskan peluasan K11 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Sri Permai bagi membolehkan lebih ramai anak Orang Asli meneruskan persekolahan sehingga Tingkatan Lima lebih dekat dengan keluarga dan komuniti masing-masing.
Katanya, kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi kerja-kerja penyelenggaraan SK Bihai.
“Jauh perjalanan kami masuk ke SK Bihai. Tetapi anak-anak di sini tidak sepatutnya perlu pergi lebih jauh hanya untuk meneruskan pendidikan.
“Sebab itu saya cukup gembira membawa satu berita baik. SK Bihai dan SK Sri Permai telah diluluskan untuk peluasan K11,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada YGTHO atas sumbangan papan pintar (smart board) serta YDN yang menyumbangkan 30 tablet untuk kegunaan murid di sekolah berkenaan.
Menurutnya, berada di SK Bihai turut mengingatkan bahawa usaha meningkatkan pendidikan di kawasan pedalaman bukan sekadar membawa lebih banyak kemudahan, sebaliknya perlu mengambil kira keunikan persekitaran dan kehidupan komuniti setempat.
Beliau berkata, anak-anak Orang Asli membesar bersama rimba, sungai dan hutan, manakala perubahan iklim turut memberi kesan secara langsung terhadap kehidupan mereka.
“Ada ilmu yang mereka kenal bukan daripada buku tetapi daripada komuniti dan alam yang membesarkan mereka. Sebab itu pedagogi rimba atau naturegogy yang ada di sini harus kita kuatkan,” ujarnya.
Jelasnya, perubahan terhadap hutan, sungai dan iklim bukan sekadar isu yang dipelajari melalui buku, sebaliknya sesuatu yang memberi kesan kepada kehidupan komuniti yang bergantung rapat dengan alam sekitar.
Fadhlina berkata, beliau mahu anak-anak SK Bihai mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran setinggi-tingginya, mengenali dunia dengan lebih luas dan mengejar cita-cita tanpa dibatasi lokasi mereka membesar.
“Saya mahu anak-anak SK Bihai belajar setinggi-tingginya. Kenal dunia seluas-luasnya. Pergi sejauh mana pun cita-cita membawa mereka.
“Dan apabila mereka sampai ke puncak kejayaan nanti, biarlah mereka masih tahu jalan pulang ke rimba yang membesarkan mereka,” katanya.

