Siri anime popular Jepun, Bleach, melabuhkan tirai selepas 22 tahun sejak mula ditayangkan, dengan reaksi awal peminat menyifatkan episod akhirnya sebagai penutup yang “sempurna”, lapor BBC Newsbeat.
Episod terakhir bagi jalan cerita Thousand-Year Blood War menerima reaksi positif daripada peminat, malah ada yang menyifatkan pengakhirannya sebagai sesuatu yang 'sempurna'.
Menurut laporan BBC Newsbeat, episod penamat itu hadir dengan jangkaan tinggi, khususnya selepas pengakhiran manga asal Bleach pada 2016 mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pembaca.
Pengakhiran manga berkenaan sebelum ini dianggap tergesa-gesa dan mengecewakan oleh sebahagian peminat.
Keadaan itu dikaitkan dengan masalah kesihatan yang dialami penciptanya, Tite Kubo, ketika menghasilkan karya tersebut.
Bagaimanapun, adaptasi animasi terbaharu ini membawa beberapa perubahan penting apabila Kubo sendiri terlibat dalam proses pembangunan jalan ceritanya bersama studio animasi Pierrot Films.
Perubahan berkenaan mencetuskan harapan bahawa versi animasi itu mampu memberikan penutup yang lebih memuaskan kepada kisah yang telah lama dinantikan.
Bagi sesetengah peminat, Bleach bukan sekadar sebuah siri anime, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup mereka sejak kecil.
Mungkin ada yang memilih Bleach sebagai siri anime kegemaran sepanjang zaman mereka, tidak kira sama ada dalam versi manga ataupun anime.
Bleach juga mempunyai komuniti tersendiri dimana ia menjadi platform untuk para peminat tegarnya bertemu dan menjalin hubungan persahabatan di dunia sebenar.
Melihat anime tersebut bertahan cukup lama dan berjaya tiba di penghujungnya pasti memberikan kegembiraan yang cukup besar kepada peminat siri ini.
Perjalanan Panjang Bleach Kembali Diteruskan
Untuk rekod, anime Bleach mula ditayangkan pada 2004 dan berakhir pada 2012 selepas 16 musim.
Bagaimanapun, siri animasi asal itu tidak mengadaptasi keseluruhan jalan cerita manga, menyebabkan peminat tertanya-tanya sama ada kisah Ichigo Kurosaki akan diteruskan ke layar animasi.
Penantian itu akhirnya terjawab apabila adaptasi Thousand-Year Blood War mula ditayangkan pada 2022, kira-kira sedekad selepas siri asal berakhir.
Kisah tersebut dibahagikan kepada empat bahagian, dengan bahagian terakhir meneruskan pertempuran klimaks yang menjadi kemuncak kepada keseluruhan jalan cerita.
Bleach mengisahkan Ichigo Kurosaki, seorang remaja berambut jingga yang mempunyai kebolehan melihat roh. Kehidupannya berubah apabila dia memperoleh kuasa untuk melindungi manusia daripada roh jahat.
Siri ciptaan Kubo itu turut dianggap sebagai salah satu daripada tiga manga popular yang dikenali sebagai Big Three, bersama One Piece dan Naruto.
Ketiga-tiga karya tersebut memainkan peranan penting dalam perkembangan populariti manga dan anime Jepun di seluruh dunia.
Dengan perubahan yang dilakukan terhadap adaptasi terbaharu, peminat kini berharap Bleach dapat menutup perjalanan panjangnya dengan pengakhiran yang benar-benar memuaskan, sekali gus memberikan penghormatan sewajarnya kepada siri yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

