Seorang anggota tentera Australia maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Wilayah Utara Australia pada Isnin, lapor BBC.
Polis memaklumkan sebuah kenderaan terbalik di kawasan latihan Mount Bundey, kira-kira 130 kilometer tenggara Darwin, pada petang Isnin.
Seorang tentera Australia maut
Seorang anggota disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala lima lagi diterbangkan ke hospital di Darwin untuk mendapatkan rawatan.
Kawasan berkenaan yang digunakan tentera Australia bagi latihan tembakan hidup merupakan lokasi sama yang menyaksikan seorang anggota, Jason Challis, maut pada 2017 selepas ditembak di kepala ketika menjalani latihan.
Jabatan Pertahanan Australia kemudiannya mengaku bersalah kerana gagal mematuhi keperluan keselamatan tempat kerja berhubung kejadian berkenaan.
Insiden pada Isnin itu merupakan kematian kedua membabitkan anggota tentera Australia pada tahun ini selepas seorang anggota pasukan payung terjun maut akibat perlanggaran di udara ketika latihan pada Mei lalu.
Jabatan Pertahanan mengesahkan kejadian itu pada Selasa, namun tidak memberikan butiran lanjut dan meminta privasi anggota tentera serta keluarga yang terjejas dihormati.
Ketua Menteri Wilayah Utara, Lia Finocchiaro, berkata dua anggota yang cedera dibawa ke Royal Darwin Hospital menggunakan helikopter, manakala tiga lagi diterbangkan menggunakan pesawat pada petang Isnin, menurut penyiar nasional ABC.
“Fikiran dan doa kami bersama keluarga yang pastinya amat terkesan dengan kehilangan ini. Seluruh komuniti kami juga bersama anggota perkhidmatan yang pasti amat merasai kehilangan ini,” katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Wilayah Utara, Martin Dole, mengerahkan anggota ke kawasan latihan Mount Bundey bagi membantu siasatan Jabatan Pertahanan berhubung kejadian itu.
“Kami tidak boleh mengulas mengenai punca kecederaan anggota pertahanan berkenaan, namun kami membantu dan turut menjalankan siasatan bagi pihak koroner,” katanya menurut ABC.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.
“Tiada hari yang selamat atau mudah bagi mereka yang berkhidmat untuk negara kita,” katanya.
Insiden latihan sama pernah ragut nyawa anggota pada 2017
Dalam inkues pada 2019 berhubung kematian Challis, 25, dari Victoria, koroner menyifatkan latihan berkenaan sebagai “kucar-kacir” dan berkata kematiannya boleh dielakkan.
Challis, yang mempunyai pengalaman kurang daripada setahun dalam pasukan pertahanan, ditembak di kepala dan lutut ketika berada di belakang dinding papan lapis dalam latihan serangan di kawasan bandar.
Pada Mei tahun ini, anggota Rejimen Perkhidmatan Udara Khas (SAS), Lachlan Muddle, turut maut selepas terjatuh ke tanah berikutan perlanggaran di udara dengan seorang lagi anggota payung terjun ketika latihan di lapangan terbang Jervis Bay, New South Wales.


