Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Sedia Kain & Spray, Sekolah Praktik "Clean As U Go", Siap Raih Perhatian PM

Sekolah tanam nilai "Clean As U Go"
Kredit: @syamillhalek

Sekolah bukan sekadar tempat untuk menimba ilmu pengetahuan, malah memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri, sahsiah dan disiplin seseorang pelajar.

Selain pembelajaran di dalam bilik darjah, penerapan nilai-nilai murni seperti kebersihan, tanggungjawab dan kerjasama juga perlu dipupuk melalui amalan harian di persekitaran sekolah.

Sekolah Tanam Nilai “Clean As U Go”

Seiring dengan usaha tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(2) memperkenalkan pendekatan menarik menerusi amalan “Clean As U Go” dalam kalangan pelajar di kantin sekolah berkenaan.

Menerusi perkongsian pengguna Threads, Syamil Halek, pihak kantin menyediakan kain lap dan cecair penyembur pembersih untuk kegunaan pelajar selepas mereka selesai makan.

Pelajar kemudian akan mengelap meja serta mengemas semula tempat yang digunakan sebelum meninggalkan kantin.

Menurutnya, inisiatif tersebut diharapkan dapat menanamkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar, khususnya dalam membentuk sikap tanggungjawab sejak usia muda.

Perkongsian raih perhatian PM Anwar Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Agama

Perkongsian itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyambut baik usaha tersebut dan berharap amalan berkenaan dapat melahirkan generasi muda yang mempunyai sahsiah terpuji serta berdisiplin.

“Melentur buluh sedari rebung. Moga jadi anak-anak baik yang berjaya dan berdisiplin, Insya-Allah,” katanya.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mengucapkan tahniah kepada pihak yang terlibat dan menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai contoh yang baik untuk dicontohi masyarakat.

Beliau turut mengingatkan bahawa kebersihan, kekemasan dan keindahan merupakan perkara yang dituntut dalam Islam.

“Subhanallah, tahniah Tuan dan semua yang terlibat. Contoh yang baik kepada semua.

“Allah Subhanahu wa-Ta'ala sangat mencintai kebersihan, kekemasan, dan keindahan.

“Kebersihan bukan saja tuntutan kehidupan harian, malah menjadi sebahagian daripada asas keimanan seorang Muslim,” ujarnya.

Rata-rata pengguna media sosial turut berikan pujian

Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut menerima pelbagai reaksi positif daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya memuji usaha pihak sekolah dalam menerapkan amalan menjaga kebersihan sejak usia muda.

Antara komen yang ditinggalkan termasuk;

“Tahniah cikgu dan pihak sekolah. Semoga dapat memberi contoh pada sekolah lain juga untuk terapkan pada anak-anak life skill,” komen Sallehajohari.

“Bagus sangat macam ni. Kena praktikkan dekat semua kantin sekolah kat Malaysia,” komen sarra_velvet.

“Tahniah cikgu dan sekolah. Ini satu usaha yang baik! Nak bina culture, memerlukan punca kuasa, masa dan kuat kuasa.

“Punca kuasa sudah digunakan, kuat kuasa sedang dilaksanakan, tinggal masa menentukan. All the Best,” komen asnawi.yusof.

Inisiatif ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pembentukan disiplin dan rasa tanggungjawab boleh bermula melalui perkara kecil dalam kehidupan seharian.

Amalan seperti ini bukan sahaja membantu menjaga kebersihan persekitaran, malah mendidik pelajar untuk lebih prihatin dan bertanggungjawab.

Sumber:Threads
Intipati
  • SK Putrajaya Presint 11(2) menyediakan kain lap dan penyembur pembersih di kantin sekolah.
  • Pelajar diminta mengelap meja dan mengemas tempat digunakan sebelum meninggalkan kantin selepas makan.
  • Perkongsian itu mendapat perhatian pemimpin negara dan pujian pengguna media sosial terhadap usaha sekolah.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan