Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Saya Viral Satu Malaysia Minggu Ni…” Lelaki Ghana Terkejut Videonya Mendapat Perhatian Khairul Aming

Perhatian Khairul Aming
Kredit: Tiktok @theobscureview

Sebuah video yang pada awalnya dianggap biasa-biasa sahaja bertukar menjadi tular di Malaysia apabila mendapat perhatian pempengaruh terkenal, Khairul Aming.

Perkara itu dikongsikan seorang lelaki dari Ghana yang menetap di United Kingdom (UK) menerusi video di media sosialnya selepas mendapati kandungan yang dihasilkan menerima lonjakan tontonan luar biasa, sekali gus mendapat perhatian ramai pengguna di Malaysia.

Menurut lelaki berkenaan, video itu memaparkan pandangannya mengenai keperluan mengembalikan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang ke dalam kalendar Formula 1 (F1) secara tetap.

Dia pada awalnya tidak menyangka video berkenaan mampu menarik perhatian ramai kerana menganggap pandangan yang dikongsikan itu sesuatu yang biasa dan mungkin dipersetujui oleh kebanyakan peminat sukan permotoran.

Tarik perhatian Khairul Aming

Bagaimanapun, dia mula menyedari sesuatu yang berbeza apabila jumlah tontonan videonya terus meningkat dengan pantas.

“Saya tertanya-tanya, apa yang berlaku? Adakah saya memuat naiknya pada waktu yang tepat atau orang ramai memang begitu bersemangat tentang perkara ini?” katanya.

Keadaan itu membuatkannya semakin keliru sehinggalah dia membaca ruangan komen dan mendapati beberapa pengguna memaklumkan bahawa videonya telah dikongsikan semula oleh Khairul Aming.

Pempengaruh yang mempunyai kira-kira 7.1 juta pengikut itu dipercayai menjadi antara faktor yang membantu videonya mendapat perhatian lebih luas, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia.

Kredit: Tiktok @theobscureview

Dia turut meluahkan rasa tidak menyangka kandungannya boleh muncul di halaman For You Page (FYP) Khairul Aming, sedangkan dirinya berada jauh di UK.

Kredit: Tiktok @theobscureview

Bukan sekadar nasib, ini perkara yang diperhatikan

Menariknya, lelaki itu turut berkongsi pandangannya mengenai faktor yang mungkin membantu sesebuah kandungan mencapai penonton di luar lingkungan pengikut sedia ada.

Antara perkara yang disebutnya ialah pemilihan masa untuk memuat naik video, penggunaan tanda pagar atau hashtag, selain kebolehan menyampaikan sesuatu perkara dengan jelas supaya mudah difahami oleh penonton antarabangsa.

Kredit: Tiktok @theobscureview

Menurutnya, cara penyampaian yang jelas juga memainkan peranan penting kerana penggunaan bahasa atau slanga yang terlalu khusus kepada sesuatu tempat mungkin menyukarkan penonton dari negara lain memahami kandungan berkenaan.

Dia berpendapat, pencipta kandungan tidak semestinya perlu mempunyai pengikut yang ramai atau dikenali di kawasan tempat tinggal sendiri untuk mendapat perhatian di media sosial.

Tidak akan tahu siapa yang sedang menonton

Menerusi perkongsian itu, dia turut menitipkan pesanan kepada mereka yang sedang berusaha menghasilkan kandungan di media sosial supaya tidak mudah berputus asa.

Katanya, pencipta kandungan tidak akan tahu siapa yang sedang menonton video mereka dan sejauh mana kandungan itu boleh tersebar.

Malah, seseorang tidak semestinya perlu bergantung pada rakan-rakan, penduduk di bandar sendiri atau masyarakat di negara sendiri untuk mendapatkan perhatian.

Sebaliknya, platform seperti TikTok membuka peluang kepada kandungan seseorang untuk ditemukan oleh penonton dari pelbagai tempat, termasuk mereka yang berada di negara lain.

Perkongsian itu menjadi peringatan bahawa sesuatu kandungan yang dianggap biasa oleh penciptanya mungkin mempunyai daya tarikan tersendiri kepada penonton lain.

Justeru, mereka yang sedang membina nama dalam dunia penciptaan kandungan digalakkan untuk terus berkarya kerana peluang untuk ditemukan oleh khalayak yang lebih luas sentiasa terbuka.

Intipati
  • Lelaki Ghana di UK berkongsi video menyokong kepulangan GP Malaysia ke kalendar F1.
  • Videonya mendapat lonjakan tontonan selepas dipercayai dikongsikan semula oleh Khairul Aming.
  • Beliau menasihatkan pencipta kandungan terus berkarya kerana penonton boleh datang dari pelbagai negara.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan