Tidak kira tua atau muda, pasti ramai yang teruja apabila berpeluang berkunjung ke balai bomba, apatah lagi jika dapat meraikan hari istimewa di lokasi tersebut.
Begitulah kisah seorang bapa yang memilih sebuah balai bomba sebagai lokasi sambutan hari lahir anaknya.
Menerusi satu hantaran di Threads, @yasinamron berkongsi video memaparkan gelagat seorang lelaki yang kelihatan cukup teruja ketika membawa anaknya menyambut hari lahir di balai bomba.
Bapa Teruja Sambut Hari Jadi Anak Di Balai Bomba

“Bapaknya teringin tapi gunakan anak,” tulisnya menerusi ruangan kapsyen.
Berdasarkan video tersebut, sambutan berkenaan berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat Keramat, Kuala Lumpur.
Menariknya, lelaki itu dilihat lebih teruja berbanding anaknya apabila berpeluang mencuba sendiri kemudahan yang terdapat di balai bomba berkenaan.
Antara yang mencuri perhatian ialah gelagatnya ketika mencuba tiang gelongsor yang lazimnya digunakan anggota bomba untuk turun dengan pantas dari tingkat atas.
Wajahnya jelas menunjukkan kegembiraan sebaik sahaja berjaya mencuba kemudahan tersebut, seolah-olah impian zaman kanak-kanaknya akhirnya tercapai.
Tidak cukup dengan itu, dia turut tidak melepaskan peluang bermain air yang disembur oleh pihak bomba sebagai salah satu aktiviti untuk kanak-kanak.

Lebih mencuit hati, lelaki itu kelihatan begitu asyik bermain air sedangkan dia satu-satunya orang dewasa yang turut serta dalam aktiviti berkenaan.
Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi apabila ada yang menyangka anaknya sudah besar kerana mampu meminta sambutan hari lahir di balai bomba.
Namun, anaknya rupa-rupanya masih kecil dan dianggarkan berusia sekitar dua hingga tiga tahun sahaja.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya terhibur melihat gelagat bapa berkenaan yang seolah-olah lebih menghayati sambutan hari lahir itu berbanding anaknya sendiri.




Dalam masa sama, ada juga yang mengambil peluang bertanya mengenai cara untuk mengadakan sambutan hari lahir atau aktiviti bersama keluarga di balai bomba.



