Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Sentuh Tanah
Setiap kali aksi Piala Dunia FIFA 2026 berlangsung, peminat bukan sahaja tertumpu kepada permainan di atas padang. Malah, turut menyaksikan satu pembaharuan menarik yang diperkenalkan FIFA sebelum acara bermula.
Buat pertama kali, setiap perlawanan dimulakan dengan upacara khas apabila bendera gergasi kedua-dua negara dibentangkan di atas padang. Manakala, kesemua pemain berdiri mengelilingi bulatan tengah untuk menyanyikan lagu kebangsaan masing-masing.
Namun, di sebalik upacara yang mencuri perhatian itu, ramai peminat menyedari satu perkara unik melibatkan pasukan Arab Saudi.
Ketika perlawanan pembukaan Kumpulan H antara Arab Saudi dan Uruguay, pemerhati mendapati bendera Arab Saudi tidak dibentangkan seperti bendera negara lain.
Sebaliknya, bendera tersebut dipegang dan diangkat supaya tidak menyentuh permukaan padang.
Malah, bagi memastikan keseimbangan visual semasa upacara berlangsung, bendera Uruguay turut diangkat bersama.

Situasi itu menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak dunia. Mengapa hanya bendera Arab Saudi menerima layanan berbeza?
Menurut laporan media, Arab Saudi mempunyai peraturan yang sangat ketat berkaitan penggunaan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaannya.
Ini kerana bendera negara itu mengandungi kalimah syahadah yang berbunyi "La ilaha illallah, Muhammadur Rasulullah" (Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah).

Oleh sebab itu, bendera tersebut dianggap mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dan perlu dihormati pada tahap tertinggi.
Peraturan rasmi negara berkenaan melarang bendera Arab Saudi daripada diletakkan dalam keadaan yang boleh dianggap tidak menghormati simbol negara dan agama.
Antara larangan yang ditetapkan ialah bendera Arab Saudi tidak boleh diturunkan sehingga menyentuh tanah, air atau mana-mana permukaan di bawahnya.
Selain itu, bendera yang sudah lusuh, pudar warna atau rosak juga tidak boleh dipamerkan.
Mana-mana bendera yang tidak lagi sesuai digunakan perlu dilupuskan dengan cara yang betul bagi memastikan ia tidak digunakan semula atau diperlakukan secara tidak hormat.
Disebabkan peraturan inilah, ketika negara-negara lain membentangkan bendera mereka di atas padang sebelum perlawanan, Arab Saudi memilih untuk memastikan bendera kebangsaannya sentiasa berada di atas permukaan tanah.
Ini bermakna setiap kali Arab Saudi beraksi di Piala Dunia 2026, peminat berkemungkinan akan terus melihat bendera negara itu dipegang atau diangkat, bukannya dibentangkan di atas padang seperti pasukan lain.
Langkah tersebut bukanlah satu keistimewaan khas daripada FIFA, sebaliknya bertujuan menghormati undang-undang serta nilai agama yang terkandung pada bendera Arab Saudi.
Dalam aksi pertama Kumpulan H, Arab Saudi terikat 1-1 dengan Uruguay.
Pasukan Asia Barat itu terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan pemain pertahanan kelab Al Nassr, Abdulelah Al-Amri, sebelum Uruguay menyamakan kedudukan pada penghujung permainan.
Selepas ini, Arab Saudi bakal berdepan antara pasukan pilihan kejohanan, iaitu Sepanyol, sebelum menentang Cape Verde dalam usaha memburu slot ke pusingan seterusnya.