Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

RCI TH: Tiada Apa-Apa Yang Hendak Disembunyikan Daripada Rakyat - Setiausaha Agung BN

RCI
Kredit: Bernama

Barisan Nasional (BN) menegaskan tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa pendirian BN itu adalah jelas dan konsisten.

"Pendirian BN adalah jelas dan konsisten, tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan daripada rakyat, khususnya kepada 10 juta pendeposit Tabung Haji.

"Hakikat bahawa laporan RCI telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka, dan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat membuktikan bahawa proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah," katanya.

Tegasnya lagi, proses institusi negara juga perlu dihormati, dengan RCI merupakan mekanisme yang diwujudkan di bawah undang-undang negara untuk menyiasat isu berkepentingan awam.

"Laporan tersebut perlu diteliti secara objektif, berasaskan fakta dan bukti, bukannya dijadikan bahan penghukuman politik.

"Perbahasan juga turut mengesahkan bahawa RCI ini memfokuskan pada tempoh 2014 hingga 2020 sahaja.

"Oleh itu, adalah wajar kajian menyeluruh mengenai keseluruhan sejarah tadbir urus Tabung Haji dengan turut membuat penelitian terhadap tempoh-tempoh lain, termasuk perkembangan dan keputusan selepas tahun 2020 seperti peranan yang dimainkan oleh Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini," kata Zambry.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Kredit: Bernama

Zambry berkata dapatan RCI menyentuh isu tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang. Perkara-perkara ini perlu dilihat sebagai asas untuk memperkukuh institusi Tabung Haji, bukan mencari keuntungan politik jangka pendek.

Menurutnya, BN menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan bahawa transformasi institusi perlu diteruskan secara konsisten.

Sementara itu, Zambry berkata pendedahan laporan RCI di Parlimen telah disokong sejak awal oleh pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Malah beliau turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh.

"Ini menunjukkan bahawa BN tidak pernah mengambil pendirian untuk menutup ruang penelitian awam terhadap isu Tabung Haji.

"Kepentingan pendeposit mesti mengatasi kepentingan politik Tabung Haji bukan sekadar entiti kewangan. la adalah institusi umat Islam yang mempunyai amanah besar dalam pengurusan simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji.

"Oleh itu, semua pihak perlu mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai dan membuat naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab.