Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Sarsi mungkin antara minuman berkarbonat yang sudah sebati dengan selera sejak kecil.
Namun, bagi seorang lelaki dari Jepun, pengalaman pertama mencuba minuman tersebut ternyata memberikan gambaran rasa yang jauh berbeza apabila dia menyamakannya dengan Salonpas.
Perkara itu dikongsikan pengguna Threads dari Jepun, @kametarou58, menerusi satu hantaran yang meraih lebih 43,300 tontonan.

Menerusi perkongsian tersebut, lelaki berkenaan berkata dia membeli setin F&N Sarsi di Pavilion Malaysia pada pertengahan Mei 2025 dengan harga 200 yen.
Menurutnya, dia tertarik untuk mencuba minuman itu selepas melihat label promosi pada rak jualan yang menggambarkannya sebagai antara minuman paling pelik di dunia, namun mempunyai keunikan rasa tersendiri.
Namun, sebaik sahaja meneguk minuman berkarbonat tersebut, dia terus teringat kepada sesuatu yang sangat dikenali di Jepun.
“Rasa Macam Salonpas”
Lelaki itu menyamakan rasa Sarsi dengan Salonpas, iaitu produk pelekat yang digunakan untuk melegakan sakit otot dan amat popular di Jepun serta beberapa negara Asia.
“Saya mencubanya kerana perasaan ingin tahu, tetapi rasanya seperti Salonpas. Sudah tentu saya tidak pernah makan Salonpas sebelum ini, namun secara naluri itulah gambaran rasa yang terlintas di fikiran,” tulisnya secara berseloroh.
Walaupun memberikan gambaran sedemikian, ternyata pengalaman itu tidak membuatkan dia serik untuk mencari minuman berkenaan.
Sebaliknya, dia beberapa kali cuba mendapatkan Sarsi di kedai cenderamata selepas itu untuk dijadikan buah tangan buat kenalan.
Bagaimanapun, pencariannya tidak membuahkan hasil apabila dia gagal menemui minuman tersebut.
Netizen Malaysia Turut Kongsi Pengalaman
Perkongsian berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna Threads, khususnya rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan rasa Sarsi.
Ada yang menganggap perbezaan reaksi tersebut sebagai perkara biasa kerana cita rasa setiap budaya tidak semestinya sama.
“That’s the difference of culture,” tulis @zatifiar.
Seorang lagi pengguna pula menyamakan Sarsi dengan minuman root beer yang biasa dinikmati di Malaysia.
“This is Malaysian version of A&W root beer,” respon @lahstoner69.
Tidak kurang juga yang mengakui Sarsi memang mempunyai rasa yang mengingatkan sesetengah orang kepada ubat.
“Biasalah tu minum Sarsi rasa macam ubat,” komen @gensomaden_saiyuki secara berseloroh.
Sementara itu, @rr09 menjelaskan bahawa Sarsi mempunyai cita rasa tersendiri dan memerlukan selera yang sudah biasa dengannya.
“As a Malaysian, I agree with you. Sarsi is a soda version of Sarsaparilla drink, hence SARSI. It’s similar to root beer and need an acquired taste for it. There’s two soda’s from the manufacturer F&N that I too don’t quite like, the other is Ginger Beer,” jelasnya.
Seorang lagi pengguna, @dianaqaseem, turut berkongsi pengalaman apabila pernah menghidangkan Sarsi kepada seorang warga Jepun.
“Dulu ada pernah orang Jepun datang rumah buat soal selidik, saya hidang air Sarsi. Dia cakap sedap, tak pernah rasa air macam ni. Kawan anak saya orang Jepun, dia datang Malaysia dan rasa air Sarsi, dia tak suka sebab rasa ubat batuk,” jelasnya.
Namun, ada pula yang melihat sisi lucu daripada pengalaman tersebut.
“Tapi minum Sarsi memang buat hilang batuk pun,” jelas @lilyammar.

