Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Rambut Berminyak Ketika Cuaca Panas? Ini Waktu Sesuai Untuk Cuci
Dalam cuaca tropika seperti di Malaysia, penjagaan rambut dan kulit kepala bukan hanya tentang penampilan, tetapi juga tentang kebersihan diri.
Keadaan cuaca yang panas dan lembap menyebabkan kulit kepala lebih mudah berpeluh, berminyak dan terdedah kepada pengumpulan kotoran sepanjang hari.
Disebabkan itu, rutin mencuci rambut tidak boleh disamakan dengan negara beriklim sejuk yang mempunyai suhu lebih kering dan rendah.
Jika rambut dibiarkan terlalu lama tanpa dicuci, kulit kepala boleh mula mengalami pelbagai masalah seperti kegatalan, kelemumur, bau kurang menyenangkan serta rambut yang kelihatan lesu dan melepet.
Tambahan pula, rutin harian seperti memakai tudung, memakai topi keledar, berada di bawah cuaca panas atau kerap bergerak di luar rumah boleh menyebabkan kulit kepala menjadi lebih cepat lembap dan berminyak.
Walaupun tidak semua individu perlu mencuci rambut setiap hari, membiarkan rambut tanpa cucian terlalu lama juga boleh mengganggu keselesaan serta kesihatan kulit kepala dalam jangka masa panjang.
Kali ini, SK ingin berkongsi kekerapan sebenar untuk mencuci rambut daripada Public Health Malaysia.
Kadang-kadang kita rasa tak apa sebab diri sendiri sudah biasa dengan bau itu. Tapi masalahnya, orang sekeliling boleh perasan.
Rambut nampak lesu. Akar nampak basah berminyak. Bila angin lalu, yang terbang bukan rasa yakin, tapi bau kulit kepala yang lama terperap.
Ini bukan soal mahu cantik semata-mata. Ini soal kebersihan diri.
Bukan semua orang wajib basuh rambut setiap hari. Tapi untuk cuaca Malaysia, cuci seminggu sekali sahaja memang terlalu jarang bagi kebanyakan orang.

Kalau kulit kepala cepat berminyak atau anda mudah berpeluh, selang sehari atau setiap hari lebih sesuai.
Kalau kulit kepala normal, 2 hingga 3 hari sekali selalunya memadai.
Kalau rambut sangat kering atau kerinting, mungkin boleh lebih jarang, tetapi jangan sampai kulit kepala sudah memberi isyarat marah.
Kalau rambut sudah melepet, kulit kepala gatal, ada bau kepam, kelemumur makin banyak, atau naik jerawat kecil di kulit kepala, itu bukan lagi “tak sempat”.
Itu tanda rutin anda mungkin sudah tak sesuai. Dalam cuaca Malaysia, menjaga rambut bukan perkara kecil.
Kadang-kadang keyakinan seseorang jatuh bukan sebab muka tak cantik, tapi sebab kepala sendiri sudah rasa tak segar.
