Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai bila dengar perkataan nuklear, terus terbayang benda berbahaya, radiasi dan letupan. Tapi hakikatnya, teknologi nuklear dah lama jadi sebahagian daripada kehidupan kita tanpa disedari daripada makanan yang kita makan, tanaman yang kita tuai, sampailah rawatan perubatan di hospital.
Itu antara perkara yang dikongsikan oleh Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, dalam satu sesi temubual bertajuk “Nuklear dan Masa Depan Negara.”

Dr. Muhammad Rawi bukanlah nama asing dalam dunia sains dan teknologi nuklear negara. Beliau telah berkhidmat lebih tiga dekad di Agensi Nuklear Malaysia, bermula sebagai Pegawai Penyelidik sebelum kini memegang tampuk tertinggi sebagai Ketua Pengarah.
Dari segi akademik, Dr. Rawi memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Fizik Gunaan) dari Universiti Sains Malaysia (USM), diikuti Ijazah Sarjana Kejuruteraan Bahan dan Mekanik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan akhirnya Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang fizik dari Keele University, England.
Kajian peringkat sarjananya melibatkan pembangunan kod komputer untuk pemodelan finite element bagi memahami kriteria patah dan pergerakan retak dalam bahan, bidang yang amat penting dalam kejuruteraan dan keselamatan bahan nuklear.
Beliau juga pernah menjalankan penyelidikan di beberapa kemudahan nuklear antarabangsa seperti Japan Research Reactor 3M (JRR3M) di Jepun, reaktor Sewabesi di Serpong, Indonesia, serta European Synchrotron Research Facility (ESRF) di Grenoble, Perancis.
Sepanjang kerjaya, Dr. Rawi pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Seksyen Fizik Nuklear dan Reaktor, Pengurus Reaktor TRIGA PUSPATI, Pengarah
Bahagian Perkhidmatan Teknikal, Pengarah Bahagian Teknologi Sinaran, dan Timbalan Ketua Pengarah (Program Teknikal dan R&D Teknologi).

Beliau turut mewakili Malaysia dalam pelbagai program antarabangsa di bawah kelolaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Perjanjian Kerjasama Serantau (RCA) dan Forum Kerjasama Nuklear di Asia (FNCA). Pengalaman luas ini menjadikan beliau antara tokoh penting dalam pembangunan teknologi nuklear negara.
Di bawah kepimpinan Dr. Rawi, Agensi Nuklear Malaysia membawa tema “Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R.)” bagi memastikan hasil penyelidikan nuklear memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
Antara kejayaan besar ialah penghasilan benih padi NMR152, hasil teknologi isotop, yang mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga 50%. Ia membantu petani tempatan meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.

BACA: Dihasilkan Melalui Teknologi Nuklear, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Padi NMR 152
Dalam bidang kesihatan, teknologi nuklear digunakan untuk mengesan dan merawat penyakit seperti kanser dan jantung, manakala dalam industri, ia membantu mengesan kebocoran paip minyak dan gas, serta mensterilkan sarung tangan perubatan yang merupakan satu proses penting yang digunakan secara besar-besaran di Malaysia.
Menurut Dr. Rawi, ramai masih menganggap nuklear itu berbahaya. Sedangkan semua aktiviti berkaitan dikawal selia ketat di bawah Akta 304 (Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984) dan dipantau oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Melalui Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030, kerajaan menyasarkan penerapan teknologi nuklear dalam sektor strategik seperti makanan, kesihatan, industri dan tenaga. Menariknya, eksport produk berasaskan teknologi nuklear Malaysia kini sudah mencecah RM4.6 bilion (2021–2024), jauh melebihi jangkaan awal.
“Kalau dulu kita cuma penerima teknologi, sekarang kita dah jadi negara penyumbang kepakaran. Nuklear bukan musuh — ia alat untuk kesejahteraan rakyat,” ujar Dr. Rawi penuh semangat.
