Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai Kongsi Momen Bertemu Mark Wahlberg Di Penang
Sejak dua tiga hari lalu, media sosial 'kecoh' dengan kehadiran seorang bintang Hollywood yang dikatakan berada di Malaysia.
Mana tidaknya, ramai netizen berkongsi gambar dan video selepas mendakwa terserempak dengan pelakon terkenal, Mark Wahlberg, di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang.
Paling mencuri perhatian semestinya video yang memaparkan pelakon Hollywood itu bersahaja menaiki sebuah Perodua Kelisa.
Selepas video tular itu, semakin banyak pula gambar dan rakaman video dimuat naik oleh orang ramai yang terserempak dengan Mark di sekitar Pulau Pinang.
Ada yang sempat mengambil gambar dari jauh. Ada juga yang hanya mampu merakam kelibat pelakon berusia 54 tahun itu ketika menjalani penggambaran.



Rata-rata netizen mengakui tidak menyangka sebuah negeri di utara tanah air menjadi lokasi pilihan produksi filem antarabangsa, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri kelibat bintang Hollywood itu.
Teka-teki mengenai kehadiran Mark akhirnya terjawab apabila Penang Global Tourism, biro pelancongan rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, memuat naik hantaran khas mengalu-alukan kedatangan beliau bersama pasukan produksi filem tersebut.
Menurut agensi berkenaan, Pulau Pinang sekali lagi dipilih sebagai lokasi penggambaran kerana keunikan negeri itu. Ia menggabungkan warisan sejarah, kepelbagaian budaya, seni bina ikonik serta landskap moden yang sukar ditemui di tempat lain.
Mereka turut berharap Mark dan seluruh kru menikmati pengalaman menjelajah Pulau Pinang. Ini termasuk mencuba makanan terkenal, menikmati warisan budaya dan merasai sendiri keramahan rakyat Malaysia.
Di sebalik keterujaan netizen, rupa-rupanya kehadiran Mark bukan untuk bercuti.
Menurut laporan media tempatan, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran mengesahkan pelakon berkenaan berada di Malaysia bagi menjalani penggambaran filem terbaharu terbitan Netflix berjudul The Big Fix.
Difahamkan, Mark akan berada di Malaysia selama kira-kira dua minggu, manakala penggambaran dijalankan di enam lokasi sekitar Pulau Pinang.
Antara lokasi yang terlibat ialah Lorong Kulit, Stadium Bandaraya, Stadium Batu Kawan, Padang Macallum serta beberapa lokasi lain di sekitar negeri itu.
Menurut laporan, The Big Fix merupakan filem bergenre thriller. Ia mengisahkan seorang pegawai Interpol yang mempunyai kaitan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebelum membongkar sindiket mengatur perlawanan di peringkat global.
Produksi utama filem itu dijalankan di Sydney, Australia, manakala beberapa babak tambahan dirakam di beberapa negara termasuk Malaysia.
Selain Mark Wahlberg, filem tersebut turut dibintangi pelakon terkenal Riz Ahmed, pelakon Singapura Chin Han, serta pelakon kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Nuha Jes Izman.