Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ramai Akui, Ini Sebab Litar Sepang Dianggap Antara Litar F1 Paling Mencabar

Litar Sepang
Kredit: Bernama

Ramai Akui, Ini Sebab Litar Sepang Dianggap Antara Litar F1 Paling Mencabar

Sejak pengumuman kembalinya perlumbaan Formula 1 (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang, keterujaan jelas dirasai dalam kalangan peminat sukan permotoran khususnya di Malaysia.

Selepas hampir sedekad, penantian untuk menyaksikan semula perlumbaan berprestij itu di negara ini akhirnya bakal menjadi kenyataan.

Malah, ramai yang mula mengimbau kembali detik-detik perlumbaan yang pernah berlangsung di litar berkenaan.

Namun, di sebalik segala nostalgia itu, Litar Sepang turut dikenali sebagai antara litar paling mencabar dalam dunia perlumbaan.

Persoalannya, apa yang menyebabkan litar ini dianggap mencabar?

Untuk pengetahuan, terdapat beberapa faktor yang mendorong 'gelaran' itu.

1. Cuaca yang sukar dijangka

Seperti yang diketahui, cuaca di negara kita sememangnya sukar untuk diramal.

Pada permulaan perlumbaan, cuaca mungkin panas namun apabila sampai ke pertengahan atau ke penghujung, hujan dan ribut petir pula boleh melanda.

Keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi jentera dan kemahiran pemanduan setiap pelumba.

Namun, itulah yang menjadikannya lebih mencabar.

Mengimbas kembali pada tahun 2009, ia merupakan salah satu perlumbaan yang diingati dalam sejarah F1.

Pada permulaan, keadaan trek dilihat kering, namun ketika di pusingan ke-19, hujan lebat mula turun.

Keadaan itu membuatkan setiap pasukan perlu menukar tayar yang sesuai dengan keadaan litar yang basah.

Bagaimanapun, perlumbaan terpaksa dihentikan pada pusingan ke-31 kerana hujan lebat dan keadaan yang semakin berbahaya.

Jenson Button diumumkan sebagai pemenang perlumbaan tersebut.

2. Haba dan kelembapan melampau

Berdasarkan pengalaman pelumba-pelumba F1 yang pernah beraksi di Litar Sepang, ramai mengakui bahawa suhu di dalam kokpit boleh meningkat sehingga menjadi sangat panas.

Ketua Projek F1 dan Ketua Jurutera Eksekutif Honda R&D Co., Ltd. ketika itu, Yusuke Hasegawa, menyifatkan Grand Prix Malaysia sebagai satu perlumbaan dalam keadaan panas dan lembap yang perlu ditempuhi oleh para pelumba.

Menurutnya, keadaan cuaca yang sering berubah-ubah turut menyukarkan pelumba dan pasukan untuk mendapatkan keseimbangan jentera yang baik.

3. Reka bentuk trek

Litar yang merupakan cetusan idea mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini mempunyai 15 selekoh dan lapan laluan lurus, termasuk dua bahagian berkelajuan tinggi.

Dengan kelebaran minimum 16 meter dan maksimum 22 meter, trek ini menyediakan ruang yang lebih luas untuk aksi memotong, sekali gus menjadikan perlumbaan lebih mendebarkan dan mengujakan.

4. Sukar dapat tetapan jentera yang seimbang

Gabungan cuaca dan reka bentuk trek tersebut menyebabkan setiap pasukan perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan.

Tetapan jentera juga perlu disesuaikan dengan keadaan trek bagi memastikan prestasi kekal stabil sepanjang perlumbaan.

Antara aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah pengurusan tayar. Pasukan perlu memilih tayar yang sesuai serta memastikan penggunaannya diurus dengan baik agar prestasi tidak merosot terlalu cepat.

Pada masa sama, pelumba turut perlu menyesuaikan gaya pemanduan dengan keadaan trek yang sentiasa berubah.

Justeru, gabungan cuaca tropika, haba melampau, susun atur trek yang teknikal dan kesukaran mendapatkan tetapan jentera yang tepat inilah yang menjadikan Litar Sepang begitu mencabar.

Ia bukan sahaja menguji kelajuan sesebuah jentera, malah ketahanan fizikal, kemahiran serta kebijaksanaan pelumba dan pasukan dalam menentukan strategi.

Intipati
  • Litar Sepang dikenali mencabar kerana cuaca sukar dijangka sepanjang perlumbaan berlangsung.
  • Haba dan kelembapan tinggi menguji ketahanan fizikal pelumba serta prestasi jentera.
  • Reka bentuk trek teknikal menuntut tetapan jentera seimbang dan strategi tayar berkesan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan