Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa Kerajaan Madani masih belum melunaskan sepenuhnya komitmen kewangan berjumlah RM12.5 bilion yang dipersetujui bagi memulihkan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH).
Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu berkata, kerajaan sewajarnya menebus sepenuhnya nilai RM12.5 bilion berkenaan sama ada dalam bentuk tunai atau aset yang mempunyai nilai setara.
Menurut Rafizi, langkah itu penting bagi menggantikan aset TH yang sebelum ini hanya berbentuk atas kertas dan tidak menghasilkan aliran tunai, termasuk sukuk Urusan Jamaah Sdn Bhd (UJSB), kepada aset yang lebih cair serta mampu menjana aliran tunai.
“Daripada jumlah RM12.5 bilion yang perlu dilunaskan, hanya RM965 juta adalah dalam bentuk hartanah iaitu sebidang tanah di TRX dan tanah-tanah ladang di Sarawak.
“Baki RM11.5 bilion pula dilunaskan dalam bentuk satu lagi sukuk baharu yang akan matang dalam tempoh 10 tahun, yang mana kerajaan perlu membayar TH RM11.5 bilion pada 2036,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Menteri Ekonomi, beliau difahamkan kerajaan membuat peruntukan lebih RM1 bilion setahun bagi melunaskan sukuk UJSB yang matang pada 29 Mei 2026.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan ke mana peruntukan berbilion ringgit yang disediakan bagi tujuan pemulihan TH sebelum ini disalurkan.
“Justeru, sewajarnya perbahasan Parlimen esok mendapat penjelasan yang berterus terang daripada kerajaan ke mana wang berbilion yang diperuntukkan selama ini untuk memulihkan Tabung Haji telah pergi?” katanya.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, sekiranya kerajaan semasa dan kerajaan selepas ini terus menangguhkan komitmen melunaskan sukuk UJSB dengan menggantikan satu instrumen hutang kepada instrumen hutang baharu, TH berisiko berdepan masalah kecairan aset dan aliran tunai pada masa hadapan.