Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PTPTN & UDA Jalin Kerjasama Strategik Bantu 1,200 Pelajar Asnaf Melalui Program SAKURA
Pulau Pinang, 18 Mei 2026 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan UDA Holdings Berhad terus memperkukuh sinergi strategik menerusi pelaksanaan Program Sinar Kasih UDA Cares – PTPTN (SAKURA) sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pelajar asnaf di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara. Program ini merupakan kesinambungan kepada kolaborasi strategik yang dimeterai antara kedua-dua organisasi sejak tahun 2024 selaras dengan aspirasi bersama dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara di samping membudayakan amalan menabung serta perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan masyarakat.
Majlis penyerahan sumbangan telah berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia (USM) yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Encik Farizal Zainudin, Ketua Pegawai Kewangan UDA Holdings Berhad, YBrs. Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) USM serta Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.
Menerusi program ini, UDA Holdings Berhad menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM240,000 untuk dimanfaatkan oleh 1,200 orang pelajar asnaf dari Universiti Awam (UA), Politeknik dan Kolej Komuniti terpilih di seluruh Malaysia. Sumbangan tersebut disalurkan terus ke dalam akaun Simpan SSPN Prime dengan setiap pelajar menerima RM200 seorang.
Menurut Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, “Besar harapan saya agar sumbangan ini dapat meringankan beban pelajar serta meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi tumpuan kepada pembelajaran. Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada UDA Holdings Berhad atas sumbangan dan keprihatinan yang diberikan.
Majlis ini mencerminkan sinergi kukuh antara PTPTN dan UDA Holdings Berhad dalam memperkasa agenda pendidikan tinggi negara serta memperluas budaya prihatin dan menabung dalam kalangan masyarakat. Saya menyeru sokongan dan kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta untuk bersama-sama membudayakan amalan menabung di negara ini. Kami sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi strategik demi manfaat pendidikan dan pembentukan generasi MADANI,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad berkata, “Program SAKURA ini diharap dapat menyokong pembangunan insan yang lebih seimbang serta menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan yang berdaya saing dan berdaya tahan.”

PTPTN telah memperkenalkan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi. Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.
Sempena Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT diperluaskan kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua (2) tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI). Pendeposit yang layak kini boleh memohon geran sepadan sehingga RM5,000 untuk satu keluarga.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited melaksanakan pelbagai kerjasama strategik dan inisiatif inklusif dalam memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati secara menyeluruh, khususnya bagi golongan asnaf dan B40, demi menjamin kelangsungan pendidikan anak-anak Malaysia.