Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PROTON Iktiraf 97 Perunding Jualan Terbaik
SUBANG JAYA, 30 Jun 2026 – Peranan perunding jualan automotif kini bukan lagi sekadar menjual kereta, sebaliknya memerlukan pengetahuan mendalam mengenai teknologi baharu, sistem keselamatan serta kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in (PHEV) bagi membantu pengguna membuat pilihan yang tepat.
Seiring perubahan industri itu, PROTON menghimpunkan 97 perunding jualan terbaik dari seluruh negara menerusi program Elite Sales Achiever (ESA) Award Trip 2026 di Phuket, Thailand sebagai penghargaan terhadap prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun lalu, di samping meningkatkan kemahiran profesional menerusi latihan dan perkongsian ilmu.
Program yang berlangsung selama empat hari bukan sekadar mengiktiraf pencapaian jualan, malah menjadi platform untuk peserta mendalami perkembangan industri automotif, memahami kehendak pelanggan serta berkongsi pengalaman sebenar dari rangkaian pengedar PROTON di seluruh negara.
Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran PROTON, Ong Chee Wooi, perkembangan pesat teknologi automotif telah mengubah sepenuhnya tugas seorang perunding jualan.
"Hari ini pelanggan datang dengan maklumat yang lebih banyak dan pilihan yang lebih luas, khususnya apabila EV dan PHEV semakin menjadi pilihan pengguna. Sebab itu perunding jualan bukan sahaja perlu mahir mengenai produk, malah perlu menjadi penasihat yang diyakini pelanggan."
Beliau berkata, latihan berterusan, pendedahan kepada teknologi baharu serta keupayaan berinteraksi dengan pelanggan melalui platform fizikal dan digital kini menjadi faktor penting untuk berjaya dalam kerjaya tersebut.
Lapan model baharu buka lebih banyak peluang kerjaya
Penganjuran program ESA turut berlangsung ketika PROTON terus memperluaskan portfolio produknya. Dalam tempoh sembilan bulan lalu sahaja, syarikat memperkenalkan lapan model baharu, sekali gus menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna Malaysia dan membuka ruang lebih luas kepada perunding jualan untuk memenuhi keperluan pelanggan daripada pelbagai segmen.
Sehingga akhir Mei 2026, PROTON merekodkan 84,294 unit jualan, bersamaan 26.7 peratus pegangan pasaran. Model Proton Saga muncul sebagai kereta penumpang paling laris di Malaysia pada Mei, manakala Proton X50 terus mengekalkan kedudukannya sebagai SUV paling laris di negara ini.
Dalam segmen kenderaan elektrik, Proton e.MAS 5 kekal sebagai EV nombor satu negara dengan 9,357 unit jualan terkumpul tahun ini, manakala Proton e.MAS 7 PHEV mengungguli segmen hibrid plug-in dengan 2,936 unit diserahkan kepada pelanggan.
Perkembangan itu menjadikan kerjaya dalam bidang jualan automotif semakin mencabar dan bernilai kerana perunding jualan kini perlu menguasai teknologi ketersambungan, sistem bantuan pemandu, ciri keselamatan pintar serta aspek pemilikan EV dan PHEV.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato' Ir. Abdul Rashid Musa, berkata rangkaian pengedar merupakan barisan hadapan syarikat yang memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pelanggan terhadap jenama Proton.
"Mereka bukan sekadar menjual kenderaan, tetapi membantu pelanggan membuat keputusan penting berkaitan keperluan mobiliti mereka.
"Melalui program Elite Sales Achiever, kami bukan sahaja menghargai prestasi cemerlang mereka, malah mahu menunjukkan bahawa industri jualan automotif menawarkan kerjaya yang stabil, berdaya saing dan mempunyai peluang pembangunan yang luas kepada mereka yang sanggup belajar serta menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi," katanya.
Beliau berkata, ketika industri automotif bergerak pantas ke arah elektrifikasi dan mobiliti pintar, pembangunan modal insan akan terus menjadi antara keutamaan PROTON bagi memastikan rangkaian pengedarnya mampu memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin tinggi.