Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PRN Sarawak Ditetapkan Pada 12 Dis - SPR

PRN Sarawak Pada 12 Dis
Kredit: Bernama

KUCHING, 6 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 12 Dis ini.

Iklan

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 28 Nov, manakala pengundian awal pada 8 Dis, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh-tarikh penting PRN Sarawak di sini, hari ini.

“Bagi urusan undi pos, permohonan kategori dalam dan luar negara untuk PRN Sarawak telah dibuka pada 26 Okt lepas dan tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A, iaitu petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota tentera dan media ditetapkan pada 25 Nov.

“Bagi Kategori 1B, iaitu warganegara Malaysia di luar negara dan 1C melibatkan agensi atau organisasi, tarikh tutup pula ialah pada 20 Nov,” katanya.

Ramlan berkata SPR melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan dibantu 305 Penolong Pegawai Pengurus.

Beliau berkata bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.

“Daftar pemilih bagi PRN Sarawak yang ke-13 merangkumi 2,058,781 orang pemilih yang terdiri daripada 2,034,373 orang pengundi biasa, 13,575 orang tentera serta pasangan dan 10,833 anggota polis dan polis PGA (Pasukan Gerakan Am) serta pasangan,” katanya.

Menurut SPR dalam satu kenyataan selepas pengumuman itu, bagi PRN DUN Sarawak ke-13, sebanyak 97 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan.

“Sebanyak 40,505 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses tersebut. Manakala, sebanyak 82 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 106 tempat mengundi/saluran awal dan 1,945 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,482 tempat mengundi/saluran akan digunakan

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 2,027 buah pusat mengundi dengan 4,588 tempat mengundi/saluran,” menurut SPR.

SPR memaklumkan peruntukan bagi melaksanakan PRN Sarawak dianggarkan RM174.94 juta.

Intipati
  • SPR menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13.
  • Penamaan calon ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember.
  • Daftar pemilih PRN Sarawak merangkumi 2,058,781 pemilih termasuk tentera dan polis.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan