Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Prabowo Dedah Kenapa Gaji Guru Indonesia Sukar Dinaikkan

Prabowo
Kredit: CNN Indonesia

Prabowo Dedah Kenapa Gaji Guru Indonesia Sukar Dinaikkan

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menjelaskan bahawa gaji guru dan pegawai negeri sipil (PNS) belum dapat dinaikkan secara signifikan kerana kewangan negara terjejas akibat kebocoran ekonomi dan pengaliran keluar kekayaan negara.

Memetik CNN, Prabowo menjelaskan Indonesia sebenarnya memiliki potensi ekonomi yang besar dan mencatat keuntungan perdagangan antarabangsa selama puluhan tahun.

Namun, sebahagian keuntungan tersebut tidak sepenuhnya dinikmati di dalam negara kerana berlaku pengaliran keluar dana melalui pelbagai amalan yang merugikan negara.

Prabowo berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Musyawarah Nasional (Munas) Nahdlatul Ulama (NU) di Bangkalan, Jawa Timur, pada Selasa.

“Saya ingin sampaikan dalam forum ini kerana saya mahu saudara-saudara NU sebagai pemimpin, ulama, guru dan pembimbing rakyat memahami kenapa gaji guru tidak boleh baik, kenapa gaji PNS tidak boleh baik, kenapa anggaran selalu kurang. Ya kerana wangnya tidak ada, diambil terus,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa data perdagangan antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianalisis oleh Dewan Ekonomi Nasional (DEN) menunjukkan Indonesia sebenarnya mencatat keuntungan sebanyak AS$436 bilion atau Rp7,800 trilion dalam tempoh 22 tahun yang lalu.

Namun dalam tempoh sama, aliran dana keluar dari negara dianggarkan mencecah AS$343 bilion.

“Begitu kayanya republik kita, tiap tahun kekayaan kita diambil keluar, kita masih berdiri. Jadi kita lihat dari neraca itu inflow, outflow,” katanya.

Beliau turut mendakwa sebahagian kebocoran berlaku akibat amalan under-invoicing iaitu pelaporan nilai perdagangan yang tidak tepat, sehingga menyebabkan sebahagian nilai eksport tidak direkodkan secara penuh dan menjejaskan pendapatan negara.

“Para pengusaha itu tidak tepat melapor. Katanya jual 1,000 tan, dilapor hanya 500 tan. Ini menyebabkan negara rugi,” katanya.

Berdasarkan data yang dikemukakan, Indonesia dianggarkan mengalami kerugian sehingga AS$908 bilion (Rp16.244,12 trilion) dalam tempoh 34 tahun akibat amalan tersebut.

Prabowo turut menyatakan bahawa pakar ekonomi menganggarkan kebocoran ekonomi semasa masih berlaku pada kadar sekitar AS$150 bilion setahun (Rp2.683,50 trilion).

“Kebocoran ekonomi yang kita hadapi sekarang, berdasarkan pengiraan pakar, dianggarkan sekitar AS$150 bilion setahun atau Rp2,500 trilion setahun. Dan perkara ini sedang saya perbaiki secara menyeluruh,” ujarnya

Dalam pada itu, kerajaan sebelum ini pernah mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kesejahteraan guru, namun sehingga pertengahan 2026 belum ada dasar baharu berkaitan kenaikan gaji guru mahupun PNS diumumkan.