Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Poskad Ditulis Operator Titanic Sebelum Tragedi Dilelong Lebih RM172,000

titanic
Kredit: BBC

Sepucuk poskad yang ditulis operator komunikasi tanpa wayar kanan kapal Titanic, Jack Phillips, sebelum kapal berkenaan belayar berjaya dilelong pada harga £32,000 (kira kira RM172,176), jauh melebihi nilai anggaran awal hingga £20,000.

Iklan

Poskad bersejarah itu ditulis Phillips kepada adiknya, Elsie yang menetap di Godalming, Surrey ketika kapal Titanic berlabuh di Southampton pada 6 April 1912.

Menurut laporan BBC, pelelong Andrew Aldridge daripada syarikat Henry Aldridge and Son Ltd di Devizes menyifatkan poskad berkenaan mempunyai nilai istimewa kerana ia ditulis ketika Titanic masih berada di Southampton.

Phillips yang ketika itu berusia 25 tahun berasal dari Surrey merupakan antara kru kapal yang terkorban dalam tragedi Titanic bersama kira kira 1,500 individu lain.

Lebih menyayat hati, beliau terus bertugas menghantar isyarat kecemasan melalui sistem komunikasi tanpa wayar selepas kapal berkenaan melanggar bongkah ais.

Poskad berkenaan mengandungi catatan ringkas Phillips kepada adiknya yang berbunyi:

“Terima kasih banyak atas surat kamu. Cuaca sangat baik, saya pergi ke Cowes semalam. Saya akan menulis lagi sebelum kami belayar.”

Menurut pelelong Andrew Aldridge, Phillips merupakan antara individu yang dianggap wira dalam tragedi berkenaan kerana peranannya membantu mengarahkan operasi menyelamat ketika kapal itu sedang karam.

Katanya, selepas meninggalkan kapal ketika air mula memenuhi kawasan sekeliling kakinya, Phillips berada di atas sebuah bot penyelamat boleh lipat yang terbalik sebelum meninggal dunia akibat terdedah kepada suhu sejuk melampau.

Dalam tragedi itu, lebih 1,500 orang dilaporkan terkorban, manakala 705 penumpang dan kru berjaya diselamatkan oleh kapal RMS Carpathia yang menerima isyarat kecemasan hasil usaha Phillips.

Difahamkan, Phillips mula mempelajari kod Morse ketika bekerja di pejabat pos berhampiran tempat tinggalnya sebelum menyertai bidang komunikasi tanpa wayar.

Poskad berkenaan merupakan antara barangan yang ditawarkan dalam satu acara lelongan di Wiltshire pada Sabtu.

Sumber:BBC
Intipati
  • Poskad Jack Phillips kepada adiknya dilelong £32,000, jauh melebihi anggaran awal pelelong.
  • Phillips menulis poskad itu ketika Titanic berlabuh di Southampton pada 6 April 1912.
  • Beliau dilaporkan terkorban selepas terus menghantar isyarat kecemasan ketika kapal itu karam.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan