Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Siasat Video Tular Pemandu Bas Isi 'Cecair' Dalam Botol Ketika Memandu
IPOH, 25 Mei (Bernama) -- Polis sedang menyiasat video tular memaparkan seorang pemandu bas memasukkan cecair ke dalam botol semasa memandu kenderaan berkenaan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Abd Malek Ismail berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping menerima maklumat mengenai video itu yang dirakam oleh seorang penumpang bas sebelum dimuat naik ke media sosial, Threads.
"Hasil semakan awal mendapati lokasi sebenar kejadian masih belum dapat dikenal pasti, namun berdasarkan perbualan di ruangan komen, pemilik akaun itu meluahkan kebimbangan kerana kejadian tersebut berlaku berhampiran kawasan selepas Terowong Menora yang boleh mengancam keselamatan penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abd Malek berkata polis masih mengesan syarikat bas yang terlibat serta laluan sebenar perjalanan bas itu, dan kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan orang awam.
Beliau berkata usaha mengesan pemilik akaun media sosial tersebut sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.