Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Melaka Sedang Kenal Pasti Identiti Mayat Reput Dalam Lipatan Tilam
MELAKA, 29 Mei (Bernama) -- Satu mayat reput dibungkus dalam lipatan tilam ditemukan di sebuah rumah kedai di Pokok Mangga, di sini malam tadi.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata mayat berkenaan ditemukan pemilik premis, selepas beliau datang membuat pemeriksaan di rumah kedai itu kerana gagal menghubungi penyewanya.
Beliau berkata sebaik memasuki premis berkenaan, pemilik terhidu bau busuk sebelum menemukan satu bungkusan tilam dalam keadaan mencurigakan di ruang tamu dan terus menghubungi pihak polis.
“Pemeriksaan lanjut polis menemukan satu mayat dalam keadaan hancur, dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh lebih dua minggu hingga sebulan.
“Mayat itu dibungkus dalam lipatan tilam dan kedua-dua tangannya diikat. Berdasarkan keadaan mangsa dan lokasi kejadian, kita percaya terdapat unsur pembunuhan,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Melaka Tengah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Balai Polis Malim di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Dzulkhairi menyaksikan majlis serah tugas antara bekas Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Senior Asisten Komisioner Christoper Patit, kepada Superintenden Halim Abas yang memangku jawatan tersebut.
Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati, rumah kedai dua tingkat itu disewa seorang wanita untuk dijadikan tempat tinggal anak lelakinya.
Susulan penemuan itu, beliau berkata pihak polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun iaitu dipercayai anak kepada penyewa wanita itu, bagi membantu siasatan.
"Kita percaya mangsa mempunyai kaitan dengan anak penyewa tersebut. Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan semakan juga mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya.
Dzulkhairi ketika ditahan, suspek berada dalam keadaan khayal dan belum dapat memberi kerjasama sepenunhya kepada polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.